KOTA KINABALU : Beberapa buah sekolah di Sabah terpaksa ditutup hari ini susulan banjir yang melanda beberapa buah daerah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin berkata, setakat jam 12.10 tengah hari tadi, sebanyak tujuh buah sekolah dilaporkan terkesan dengan keadaan cuaca dan banjir yang menjejaskan operasi sesi persekolahan.
“Di daerah Beaufort, dua sekolah iaitu Sekolag Kebangsaan (SK) Lago dan SK Mempagar tidak dapat beroperasi, manakala SK Batu 60 serta SK Suasa masih berjalan seperti biasa.
“Bagi daerah Kota Belud, sebuah sekolah terlibat iaitu SK Pituru yang tidak dapat beroperasi selepas laluan utama ke sekolah ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini pada Selasa.
Sementara itu, di daerah Tenom, SK Kallang Kanar turut ditutup kerana banjir, manakala SK Inubai kekal beroperasi.
“JPNS akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.
“Keutamaan adalah keselamatan murid, guru dan kakitangan,” katanya.
Beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa berhubung dengan pihak sekolah serta mengikuti makluman rasmi JPNS dari semasa ke semasa.- SABAH MEDIA



