Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: “Trauma Alert” diaktifkan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) sebaik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, dibawa untuk rawatan selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya.
Pegawai Perubatan Hospital Universiti Malaysia Sabah, Janefer Voo, 32, berkata beliau menerima seorang pesakit perempuan iaitu Zara, 13, kira-kira jam 4.38 pagi pada 16 Julai lalu ketika bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE.
Katanya, pemeriksaan terhadap pesakit pada masa itu mendapati pesakit tidak sedar diri, bahagian belakang kepala pesakit cedera, bengkak dan berdarah, patah tulang tertutup (closed fracture) pada pergelangan tangan kiri, patah tulang terbuka (open fracture) pada buku lali sebelah kaki kiri dan patah tulang tertutup (closed fracture) pada buku lali sebelah kaki kanan.
“Selepas pemeriksaan dijalankan, “Trauma Alert” telah diaktifkan di Jabatan Kecemasan HQE pada 16 Julai lebih kurang jam 4.42 pagi, untuk rujukan segera kepada pasukan daripada Jabatan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan, dan Anestesiologi, sementara proses resusitasi dilakukan kepada pesakit ini,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amkir Shah Amir Hassan.
Janefer merupakan saksi ketiga dalam inkues kematian yang sudah memasuki hari ke-4, hari ini.
Menurut Janefer, hasil pemeriksaan beliau, pesakit disyaki mempunyai kecederaan otak yang teruk (severe traumatic brain injury), terdapat kecederaan pada bahagian belakang kepala dan patah tulang pada kedua-dua buku lali dan pergelangan tangan kiri, dan disyaki mempunyai pendarahan dalaman.
“Disebabkan tekanan darah mangsa terlalu rendah, pesakit disyaki mengalami kecederaan dalaman “due to High Impact” pada badan yang menyebabkan pendarahan dalam badan,” katanya.
Dalam kenyataan saksinya juga, Janefer berkata tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh Zara.
“Hasil pemeriksaan saya, tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit, hanya ada kecederaan pada bahagian belakang kepala dan patah tulang di tangan kiri dan kedua-dua buku lali.
“Selepas proses resusitasi dan pengimejan dilakukan, pesakit didapati mengalami pendarahan pada otak, kepatahan tulang terbuka pada buku lali kiri dan tumit kiri, kepatahan tulang tertutup pada tulang tangan kiri dan kaki kanan, tulang belakang lumbar 2, 3 dan 4 patah, dan darah beku pada tulang pinggul dan otot psoas kiri,” katanya.



