KUALA LUMPUR,— Pempengaruh media sosial, Lim Sian See, mempersoalkan hala tuju dan strategi politik UMNO Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 selepas parti itu mengeluarkan kenyataan yang dilihat berlawanan dengan sentimen rakyat berhubung isu tuntutan 40 peratus hasil negeri.
Beliau berkata, langkah UMNO Sabah yang menolak slogan “Sabah untuk Sabahan” hanya dua hari selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa Kerajaan Persekutuan gagal memulangkan semula hasil berkenaan kepada negeri itu menimbulkan kekeliruan terhadap pendirian sebenar parti tersebut.
“Saya terus terang tak faham strategi UMNO Sabah. Pada 17 Oktober, semangat ‘Sabah untuk Sabahan’ memuncak selepas keputusan mahkamah itu, memberi gambaran bahawa kerajaan pusat telah menafikan hak Sabah selama berpuluh tahun.
Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu turut pelik dengan tindakan UMNO Sabah.
” Tapi peliknya pada 19 Oktober, UMNO Sabah pula menyeru rakyat supaya jangan tertipu dengan slogan ‘Sabah untuk Sabahan’,” katanya menerusi hantaran di laman sosial hari ini.
Lim menegaskan bahawa kenyataan tersebut hadir pada saat rakyat Sabah sedang marah dan bersemangat mempertahankan hak negeri selepas keputusan mahkamah yang dianggap kemenangan besar kepada perjuangan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, pendekatan itu dilihat bercanggah dengan sentimen semasa, lebih-lebih lagi ketika PRN Sabah dijadual berlangsung pada 29 November 2025, iaitu kurang sebulan dari sekarang.
“Apa sebenarnya strategi dan niat UMNO Sabah buat kenyataan yang nampak berlawanan arus ini pada waktu rakyat sedang bersemangat mempertahankan hak mereka?” soalnya.
Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan gagal menunaikan kewajipan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan 40 peratus hasil bersih kepada Sabah, dan mengarahkan semakan serta pembayaran semula dilakukan.



