BEAUFORT: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) komited untuk memperluas Program Kebun Dapur sebagai usaha memperkukuh ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam, berkata inisiatif ini memberi peluang kepada penduduk memanfaatkan ruang di rumah masing-masing untuk menanam sayur-sayuran, menternak, serta melakukan aktiviti pertanian lain.
“Program ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah membolehkan keluarga menjana pendapatan tambahan sekiranya hasil yang diperoleh melebihi keperluan harian,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan pada Sabtu.
Ruslan menambah, lebihan hasil boleh dipasarkan melalui pusat pengumpulan pertanian di Kampung Ulu Lingkungan, yang juga menerima hasil perikanan sebelum dipasarkan. Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.
Beliau menekankan bahawa usaha ini selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya, yang menumpukan kepada sektor pertanian sebagai salah satu fokus utama penggal kedua pentadbiran kerajaan negeri.
Selain itu, rakyat dan usahawan yang memerlukan modal dapat memanfaatkan kemudahan pembiayaan melalui Sabah Kredit Corporation tanpa memerlukan penjamin, manakala Agrobank turut menawarkan pilihan pembiayaan mengikut syarat yang ditetapkan.
Program Kebun Dapur sebelum ini telah dilancarkan di Tuaran dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, menampilkan pelbagai model kebun dapur termasuk sistem ternakan ikan dan tanaman moden sebagai panduan kepada masyarakat.



