KOTA KINABALU: Seorang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kena memasuki Sabah tanpa pas yang sah dan masuk semula ke negeri ini juga tanpa pas setelah diusir keluar.
Tertuduh, Mariani Muda, 51, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Mariani dijatuhi hukuman penjara empat bulan bagi kesalahan memasuki Sabah tanpa pas sah, iaitu di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dia dijatuhkan hukuman enam bulan lagi selepas didapati memasuki Malaysia secara tidak sah selepas dikeluarkan secara sah pada 18 Julai 2024.
Tertuduh ditahan melakukan kedua-dua kesalahan ini pada 8 Januari 2026 kira-kira jam 10.50 pagi di sebuah restoran di Likas Plaza.
Kesalahan di bawah Seksyen 6 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Manakala, bagi kesalahan di bawah Seksyen 36 Akta Imigresen, tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, dan boleh disebat serta disingkirkan dari Malaysia.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berasingan.
Sementara itu, dua lagi warga asing, masing-masing lelaki warga Filipina, dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki Sabah tanpa pas sah.
Kesemua tertuduh diperintahkan dirujuk semula ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman masing-masing.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Imigresen, Gressia Yolanda Ismail Uvaraj.



