KOTA KINABALU: Seorang pengurus kedai didenda RM3,000 atau 30 hari penjara jika gagal membayar denda kerana menjual ubat terkawal tanpa preskripsi.
Hui Jun Seng, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir, hari ini.
Hui telah menjual satu kerajang berlabel “Hovasc 10mg” berisi 10 biji tablet yang dikesan mengandungi Amlodipine, racun yang disenaraikan di dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952.
Tertuduh telah menjual secara runcit racun kumpulan B sebagai ubat dispens tanpa preskripsi daripada pengamal perubatan berdaftar pada 14 Februari 2024 di Public Chemist (Sabah) Sdn Bhd (City Pharmacy), Jalan Pantai.
Amlodipine ialah ubat yang digunakan untuk rawatan hipertensi.
Menurut Seksyen 21(1)(c) Akta Racun 1952, Racun Kumpulan B hanya boleh dijual atau dibekalkan dengan preskripsi sah yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar.
Hui telah melanggar Seksyen 21(1)(c) yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 13(b) Akta tersebut dan boleh dihukum di bawah subseksyen 32(2) Akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Jika perbuatan tertuduh pada pendapat mahkamah bersifat keingkaran sengaja atau kecuaian, yang mengancam atau berkemungkinan membahayakan nyawa manusia, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan.
Manakala Pegawai Pendakwa dari Jabatan Farmasi, Lim Lay Peng, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran tegas kepada tertuduh serta amaran kepada pihak lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
Lim berkata isu penjualan Racun Kumpulan B secara berleluasa tanpa preskripsi doktor telah menimbulkan kebimbangan awam dan tidak wajar dipandang ringan.
Menurutnya, tertuduh dalam kes ini dalam kes ini, telah menjual ubat berkenaan tanpa penglibatan ahli farmasi berlesen.
“Salah laku ini mendedahkan orang awam kepada risiko yang ketara termasuk kesan sampingan, penyalahgunaan ubat, serta komplikasi kesihatan yang serius, khususnya tanpa pemantauan perubatan yang sewajarnya,” katanya.



