KOTA KINABALU: Seramai 52 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima Lencana Kepakaran Kapal Selam dalam satu majlis yang berlangsung di Markas Angkatan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, pada Rabu.
Majlis berkenaan disempurnakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain melibatkan 10 pegawai dan 42 anggota lain-lain pangkat yang berjaya menamatkan latihan kepakaran kapal selam.

Kesemua penerima telah melalui latihan intensif yang mencabar dari segi fizikal dan mental, termasuk penguasaan teknologi kapal selam dalam persekitaran operasi yang kompleks.
Zulhelmy dalam ucapannya berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar simbol kejayaan latihan, sebaliknya satu amanah besar dalam mengendalikan aset strategik negara.
Menurutnya, keupayaan TLDM bergantung bukan sahaja kepada kecanggihan aset, tetapi juga tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan setiap anggota.
Beliau turut menggesa semua submariner agar terus memperkukuh ilmu, kemahiran serta integriti bagi memastikan keupayaan operasi kapal selam negara kekal pada tahap tertinggi.



