KOTA KINABALU: Satu fenomena pembekuan ais direkodkan di Sub Stesen Panalaban, Gunung Kinabalu pada Khamis di kawasan Taman Kinabalu, pada ketinggian kira-kira 3,272.7 meter.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca kering dan tahap kelembapan rendah yang menyebabkan suhu menurun sehingga membentuk ais pada permukaan tumbuhan serta persekitaran, khususnya pada waktu malam hingga awal pagi.
Taman-Taman Sabah (TTS) dalam kenyataan memaklumkan, fenomena semula jadi berkenaan boleh berlaku secara berkala di kawasan altitud tinggi apabila keadaan atmosfera mengizinkan, terutama ketika suhu jatuh ke tahap beku.
Sehubungan itu, pihak TTS menasihatkan semua pendaki dan petugas agar sentiasa berwaspada dengan memakai pakaian yang sesuai bagi menghadapi suhu sejuk.
Ia adalah bagi memastikan tahap hidrasi mencukupi serta mematuhi semua arahan keselamatan.
“Pemantauan berterusan turut dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengunjung dan kakitangan di kawasan berkenaan sentiasa terjamin,” menurut kenyataan itu lagi.



