RANAU : Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya memperkasa komuniti petani kopi di Kampung Toboh Lama melalui pelaksanaan Program Singgah Kopi R.O.O.T.S (Rural Outreach for Origin, Training&Sustainability) yang memfokuskan pembangunan komuniti secara mampan melalui inovasi berasaskan sisa kopi.
Program tersebut melibatkan seramai 32 petani kopi yang merupakan ahli Koperasi Agro Ranau Berhad, tujuh fasilitator mahasiswa UMS, dua wakil Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) UMS, empat wakil industri daripada perusahaan sosial, serta Jawatankuasa Penilai Program University-Community Social Enterprise (UCSE).
Melalui pendekatan inovasi “waste-to-income”, komuniti didedahkan kepada teknik penghasilan produk hiliran daripada sisa kopi dan sisa tanaman seperti sabun, lulur dan baja kompos.

Inisiatif berkenaan membuka peluang kepada komuniti untuk menjana pendapatan tambahan secara lestari.
Dapatan awal menunjukkan bahawa hampir 70 peratus peserta sebelum ini tidak mempunyai pengetahuan atau pengalaman dalam penghasilan produk hiliran berasaskan sisa kopi.
Selepas pelaksanaan program, sebanyak 96 peratus peserta menyatakan minat untuk menghasilkan serta memasarkan produk tersebut sebagai sumber pendapatan tambahan.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada penyertaan Singgah Kopi Incubator UMS dalam program University-Community Social Enterprise (UCSE) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dengan kerjasama Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti Malaysia (MAKMUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Kebajikan Siswa (YKS).
Pasukan ini mewakili UMS dan negeri Sabah ke peringkat kebangsaan dengan sokongan geran pemula berjumlah RM40,000 serta dilaksanakan di bawah bimbingan mentor Singgah Kopi dari Pusat Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Dr. Rafidah Nordin.
Kerjasama strategik turut dijalankan bersama perusahaan sosial Salam Hijau Enterprise dan Oupus Organics sebagai fasilitator industri dalam membimbing komuniti dari segi pembangunan produk dan inovasi lestari.
Menurut Pengarah Program, Mohd Asran Lataga, program tersebut bukan sahaja memindahkan kemahiran baharu kepada komuniti, malah membuka ruang kepada petani untuk mengenal pasti potensi baharu daripada sumber yang sebelum ini dianggap sebagai sisa.
“Geran UCSE yang diterima bukan sahaja dimanfaatkan untuk pembangunan perniagaan Singgah Kopi, malah diperluaskan kepada pembangunan komuniti luar bandar ke arah model perusahaan sosial yang lebih mampan,” katanya.
Dalam masa sama, pasukan Singgah Kopi Incubator turut menyumbang sebuah mesin pemanggang kopi kepada Koperasi Agro Ranau Berhad bagi menyokong penghasilan biji kopi panggang 100 peratus Arabika di bawah jenama Kopi Sahayo.
Produk tersebut akan dipasarkan secara bersama antara Singgah Kopi dan koperasi bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta penjanaan pendapatan komuniti petani kopi di Kampung Toboh Lama.
Pelaksanaan program ini selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui pemindahan ilmu kepada komuniti, SDG 8 (Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi) melalui penciptaan peluang pendapatan baharu, serta SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) melalui pendekatan penghasilan produk bernilai daripada sisa.
Program Singgah Kopi R.O.O.T.S membuktikan bahawa perusahaan sosial yang digerakkan oleh mahasiswa berpotensi menjadi model pembangunan komuniti yang mampan dan boleh diperluaskan ke kawasan lain di Malaysia.
Program tersebut turut memperkukuh peranan UMS sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan graduan berilmu, malah berupaya menyumbang impak sosial yang signifikan kepada masyarakat dan negara.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Keusahawanan), Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) UMS, Dr. Nur Thara Zainal.



