KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberi jaminan bahawa Hospital Queen Elizabeth (HQE) komited memastikan layanan saksama kepada semua pesakit tanpa mengira latar belakang.
JKNS dalam satu kenyataan memaklumkan, ia termasuk pengagihan katil yang dilaksanakan secara telus berdasarkan keperluan klinikal dan kekosongan.
“JKNS memberi jaminan bahawa kebajikan serta keselamatan pesakit tetap menjadi keutamaan tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan tular berhubung isu “Zero Pending”, ugutan terhadap kakitangan serta dakwaan layanan VIP di hospital berkenaan.
“Pengurusan aliran pesakit yang cekap di Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth amat penting untuk memastikan rawatan kecemasan yang cepat dan selamat, terutamanya kerana ia berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi Sabah dan Labuan.
“Pelaksanaan pengurusan aliran ini adalah selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Aliran Pesakit di Hospital KKM (2022) dan Modul MYLEAN Awareness (edisi kedua, 2020), dengan memfokuskan untuk menangani isu kesesakan di jabatan kecemasan,” tambah kenyataan itu.
JKNS berkata antara inisiatif yang digerakkan termasuk penyelarasan penggunaan katil melalui Bed Management Unit (BMU), pewujudan wad multidisiplin, serta pemerkasaan proses discaj melalui Expected Date of Discharge (EDD).
Selain itu, hospital turut memperkenalkan Discharge Lounge dan sistem pemantauan katil berpusat bagi memastikan ketersediaan ruang untuk pesakit baharu.
“Inisiatif sejak 29 Januari 2026 ini membuahkan hasil positif terhadap prestasi hospital. Penggunaan katil kini lebih optimum, masa menunggu kemasukan wad dipendekkan, dan kesesakan di Jabatan Kecemasan berkurang secara signifikan,” katanya.
Jabatan itu memaklumkan, kelestarian inisiatif itu terus diperkukuh menerusi langkah strategik termasuk mesyuarat berkala bersama pihak berkepentingan untuk komunikasi terbuka serta penambahbaikan system pengagihan katil berdasarkan kriteria klinikal telus.
Tambahnya, penilaian berkala sistem dilakukan untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan pesakit secara praktikal dan mengutamakan kesejahteraan petugas kesihatan.
JKNS menegaskan budaya kerja di HQE berteraskan profesionalisme dan komunikasi berhemah, dan sebarang pelanggaran etika akan dikenakan tindakan tegas mengikut peraturan.
“JKNS menghargai komitmen dan pengorbanan warga kesihatan yang terus memberikan perkhidmatan terbaik meskipun beban kerja tinggi. Semua maklum balas akan diteliti demi perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti, dan berkesan untuk kesejahteraan rakyat Sabah,” tambahnya.



