BONGAWAN: Seorang pesakit buah pinggang kronik menerima bantuan sebuah motosikal terpakai serta tiket kereta api bulanan bagi memudahkan perjalanan mendapatkan rawatan hemodialisis di Hospital Papar.
Mohd Azli Abdul Rashid, 32, sebelum ini terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira 14 kilometer pergi dan balik seawal jam 4 pagi dari rumahnya ke stesen kereta api Bongawan untuk ke Papar.
Beliau kemudian meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer dari stesen kereta api Papar ke hospital, sebelum kadangkala dibantu kakitangan pusat hemodialisis yang menumpangkannya jika terserempak di laluan berkenaan.
Mohd Azli, yang menjalani rawatan hemodialisis sejak 2021, turut menerima bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berikutan penyakit dihidapinya.
Kesusahan beliau mendapat perhatian selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan ibunya yang turut menerima rawatan di Pusat Hemodialisis Hospital Papar bersama pasukan perubatan pusat berkenaan.
Pada awalnya, kutipan ikhlas diadakan untuk membelikan sebuah basikal bernilai RM350, namun hasrat itu tidak diteruskan selepas Mohd Zulfiqah Abd Adis bimbang ia boleh menjejaskan tahap kesihatan Mohd Azli.
Sebaliknya, Mohd Zulfiqah yang juga bekas pengerusi penganjur EX5 Family Gathering 2.0 tahun 2025 mengambil inisiatif menghadiahkan sebuah motosikal terpakai.
Beliau turut bekerjasama dengan bengkel motosikal Adriey Project di Kinarut dan Rabak Syndicate Motorwork di Pitas bagi mendapatkan kenderaan berkenaan.
Selain itu, Mohd Zulfiqah berjaya mendapatkan sumbangan tiket kereta api bulanan daripada pegawai Jabatan Kereta Api Negeri Sabah bagi memudahkan Mohd Azli menghadiri rawatan tiga kali seminggu, iaitu setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.
Terdahulu, beliau bersama rakan-rakan turut mengadakan majlis rumah terbuka penutup Hari Raya Aidilfitri anjuran Adriey Project dan Rabak Syndicate Motorwork di Kinarut pada Sabtu malam sebelum mengadakan perbincangan mengenai konvoi penyerahan motosikal tersebut.
Program yang dihadiri kira-kira 50 peserta itu turut diserikan dengan konvoi penyerahan motosikal kepada Mohd Azli sebagai tanda sokongan dan keprihatinan komuniti terhadap kesukaran dihadapinya.



