KOTA KINABALU : Satu gempa bumi lemah berukuran 3.4 magnitud dilaporkan berlaku di Kundasang awal pagi tadi , mencetuskan gegaran yang turut dirasai di sekitar Ranau.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, gempa itu berlaku pada jam 3.02 pagi pada kedalaman 10 kilometer dengan koordinat 6.1° Utara dan 116.7° Timur, kira-kira lapan kilometer barat laut dari Ranau, di sini.
Beberapa kawasan di Ranau, dilaporkan merasai gegaran berkenaan.
Setakat ini, tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan.
METMalaysia dalam satu kenyataan turut mengesahkan bahawa tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian tersebut.
Orang awam yang merasai gegaran akibat gempa bumi ini diminta untuk mengisi borang soal selidik yang disediakan METMalaysia di pautan berikut:
🔗 https://forms.gle/DnwLTgE6V3mYWBv1A
Orang ramai dinasihatkan agar kekal tenang dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi METMalaysia. – SABAH MEDIA



