Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki membuang air kecil di lantai sebuah stesen minyak kerana marah selepas ditegur mengenai had pengisian diesel membawa padah apabila dia didenda RM25 oleh Mahkamah Majistret di sini.
Kuan Kah Pau, 46, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Kuan telah membuang air kecil di tempat awam, iaitu di dalam Stesen Minyak Shell, Kampung Likas, pada 14 April lalu kira-kira jam 5.42 petang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(d) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah, yang memperuntukkan hukuman denda RM25 atau penjara sekiranya gagal membayar denda.
Dibawah Ordinan ini, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu membuang air besar atau kecil di atau berhampiran mana-mana jalan awam, atau di mana-mana tempat awam atau tempat peranginan awam, kecuali di kawasan yang disediakan untuk tujuan itu.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu lori dengan nombor plat Sarawak enggan mematuhi had pengisian diesel sebanyak 50 liter yang ditetapkan. Tindakan itu mencetuskan pertengkaran mulut antara tertuduh dan pengadu.
Tertuduh kemudian dengan sengaja membuang air kecil di lantai kawasan pam minyak stesen tersebut sebagai tanda marah dan tidak puas hati selepas ditegur oleh pengadu serta mengeluarkan kata-kata kesat sebelum beredar dari lokasi.
Laporan polis dibuat susulan kejadian itu dan tertuduh berjaya ditahan pada 16 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.


