HomeUtamaDUN Sabah : Sabah ambil alih pengurusan alam sekitar November depan

DUN Sabah : Sabah ambil alih pengurusan alam sekitar November depan

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU : Sabah bakal menerima kuasa berkaitan agenda pengurusan alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadual dilaksana sepenuhnya November depan.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, peralihan kuasa itu akan bermula dengan pengurusan buangan terjadual.

“Langkah ini akan disokong melalui usaha penggubalan undang-undang dan garis panduan baharu, pembangunan sistem pengurusan berasaskan web serta program peningkatan kompetensi teknikal pegawai dan pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini pada Khamis.

Tun Musa berkata pengurusan sumber semula jadi negeri ditadbir dengan memberikan penekanan terhadap keseimbangan antara konservasi biodiversiti, kelestarian ekonomi serta kesejahteraan masyarakat, khususnya komuniti yang bergantung dengan sumber hutan.

Menurutnya melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Kerajaan Negeri akan terus memperhebatkan usaha pemuliharaan dan perlindungan hutan, pemerkasaan tadbir urus hutan dan iklim, serta pembangunan komuniti dan inovasi hijau.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah pelaksanaan Other Effective Area-Based Conservation Measures (OECM) bagi menyokong sasaran Totally Protected Areas (TPA), pelaksanaan Sabah Timber Legality Assurance System Plus serta penggunaan teknologi satelit dan sistem Earth Observation.

“Selain itu, pendekatan Forest Landscape Restoration (FLR) juga akan dilaksanakan meliputi kawasan tanah pertanian, hutan pengeluaran dan kawasan komuniti, yang bertujuan memulihkan fungsi ekologi, meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Tun Musa berkata dari konteks tadbir urus karbon, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadi peneraju pelaksanaan Article 6 of the Paris Agreement di Malaysia dengan memanfaatkan peluang pasaran karbon sukarela sebagai sumber pembiayaan baharu bagi menyokong usaha pemuliharaan hutan dan alam sekitar.

“Dalam aspek tadbir urus tanah dan hartanah, Kerajaan Negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan ke atas Land (Subsidiary Title) Enactment 1972 pada tahun ini, melibatkan penggubalan dua enakmen baharu, iaitu Land (Subsidiary Title) Enactment dan Building Management Enactment.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan dalam proses pengeluaran hakmilik subsidiari serta pengurusan dan penyelenggaraan bangunan di Sabah,”katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

‘Duit boleh cari, nyawa lebih penting’ – pelajar UMS kongsi detik...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular