Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki dikenakan bon berkelakuan baik (BOGB) selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menyebabkan kecederaan terhadap adik perempuannya yang berusia 12 tahun.
Remaja berusia berusia 18 tahun itu dikenakan bon RM2,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin tempatan.
Manakala ayahnya berusia 44 tahun dan kakaknya berusia 22 tahun masing-masing didenda RM2,000 atas pertuduhan yang sama. Mereka telah melunaskan denda tersebut.
Ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka masing-masing didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa pada 21 Januari tahun ini kira-kira jam 1 petang di sebuah rumah di Kampung Mansiang, Manggatal.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekalim jika sabit kesalahan.
Pertuduhan menyatakan mereka bersama-sama menganiayai mangsa sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal.
Bagaimanapun, peguam Lawrence Lim Ming Zoong yang mewakili tertuduh telah mengemukakan surat representasi kepada pihak pendakwaan untuk memohon pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 diturunkan ke seksyen yang lebih ringan, yang membawa hukuman lebih rendah.
Pihak pendakwaan telah menerima surat representasi yang dikemukakan tersebut.
Mahkamah kemudiannya melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan di bawah Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas pertuduhan tersebut dibatalkan dan ditarik balik.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya AK Johari @ Pg Johari.



