SEMPORNA: Tiga tapak berpotensi di bawah pendekatan Other Effective Area-Based Conservation Measures (OECM) dikenal pasti di daerah ini, sekali gus menandakan langkah penting dalam mengiktiraf usaha pemuliharaan marin yang telah lama dilaksanakan komuniti pesisir dan pulau.
Pengenalpastian itu dibuat menerusi satu bengkel yang diadakan baru-baru ini di sini, menghimpunkan agensi kerajaan, organisasi pemuliharaan serta wakil komuniti, dengan penekanan terhadap keperluan pengiktirafan, sokongan dan kerangka kerja yang selari dengan realiti tempatan.
Menurut seorang wakil Pejabat Daerah Semporna, pemuliharaan kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya tanggungjawab bersama semua pihak.
“Pendekatan OECM membolehkan usaha sedia ada komuniti dalam melindungi ekosistem marin diiktiraf dan diperkukuh. Bengkel ini memberi fokus kepada pengiktirafan dan pemformalan usaha yang telah lama digerakkan di peringkat komuniti,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, antara hasil utama bengkel tersebut ialah pengenalpastian tiga kawasan berpotensi OECM yang mempunyai asas pengurusan tempatan yang kukuh serta latar belakang komuniti dan ekologi berbeza.
Tapak pertama di Pulau Larapan meliputi kira-kira 300 hektar kawasan pesisir dan marin, dengan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk pemulihan terumbu karang, pengurusan sisa dan pembangunan Protokol Komuniti.
Wakil komuniti, Mad Rinta Parintamin, berkata pihaknya berharap Pulau Larapan dapat diiktiraf sebagai tapak OECM menjelang 2027.
“Kami percaya dengan sokongan susulan daripada bengkel ini, usaha yang telah dijalankan boleh diperkukuh dan diiktiraf,” katanya.
Tapak kedua di Melanta Silawa pula dianggarkan seluas 285 hektar, merangkumi terumbu berhampiran pantai dan kawasan perikanan tradisional yang diurus secara lestari berasaskan amalan komuniti setempat.
Seorang wakil komuniti, Ishak Kimdah berkata, usaha melindungi kawasan tersebut telah lama dilaksanakan walaupun belum mendapat pengiktirafan rasmi.
“Kami berharap apa yang telah dilakukan ini dapat melayakkan kawasan kami diiktiraf apabila kerangka OECM diwujudkan di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pulau Omadal sebagai tapak ketiga meliputi kira-kira 389 hektar dan mempunyai potensi besar, namun berdepan cabaran seperti sempadan tidak jelas, tadbir urus lemah serta isu pencerobohan.
Bagaimanapun, komuniti melihat OECM sebagai peluang untuk memperbaiki infrastruktur, memperkukuh tadbir urus serta menjana ekonomi mampan melalui aktiviti seperti akuakultur, pertanian kecil dan ekopelancongan.

Ketua Penolong Pengarah II Pusat Biodiversiti Sabah, Alessandra Markos berkata, kawasan yang dikenal pasti itu mencerminkan hasil pemuliharaan sebenar di lapangan.
“OECM bukan sekadar memenuhi kriteria, tetapi mengiktiraf apa yang telah berfungsi dengan baik. Sabah mempunyai peluang membangunkan kerangka yang selari dengan konteks dan keutamaan tempatan,” katanya.
Pegawai Kanan Pendidikan, Alam Sekitar dan Ekonomi (CEE) WWF-Malaysia, Mariam Syarmilah Musa turut menegaskan kepentingan penglibatan komuniti sejak peringkat awal.
“Apabila komuniti mempunyai rasa pemilikan, pemuliharaan menjadi sebahagian daripada identiti dan kehidupan harian mereka,” katanya.
Dalam pada itu, bengkel berkenaan turut merumuskan bahawa tiada pendekatan seragam bagi semua kawasan, sebaliknya setiap tapak perlu dinilai berdasarkan konteks sosial, budaya dan ekologi masing-masing.
Pengurus Program Kanan Reef Check Malaysia, Adzmin Fatta berkata, bengkel tersebut membuka ruang kepada pengiktirafan usaha komuniti yang telah lama dilaksanakan.
“Setiap pulau mempunyai keunikan tersendiri dari segi budaya dan cabaran. Pendekatan OECM membolehkan kepelbagaian ini diraikan sambil mencapai matlamat pemuliharaan bersama,” katanya.
Beliau menambah, peranan pemimpin komuniti dan golongan belia penting dalam memastikan kelangsungan usaha berkenaan.
“Justeru, usaha akan tertumpu kepada memperincikan sempadan kawasan, memperkukuh data serta membangunkan kerangka OECM khusus Sabah bagi menyokong pengiktirafan rasmi dan impak jangka panjang,” ujarnya.
Bengkel itu dianjurkan bersama Pejabat Daerah Semporna, Pusat Biodiversiti Sabah, WWF-Malaysia dan Reef Check Malaysia.



