HomeUtamaWarga UMS jayakan ‘Jom Baca’, lancar kapsul masa digital 2035

Warga UMS jayakan ‘Jom Baca’, lancar kapsul masa digital 2035

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh budaya membaca apabila menjayakan program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit 2026’ yang berlangsung serentak di tiga kampus, pada Khamis.

Zawawi (depan, tengah) bersama tetamu semasa aktiviti membaca 10 minit.

Program anjuran Jabatan Perpustakaan UMS itu turut menyaksikan pelancaran UMS 2035 Digital Time Capsule sebagai inisiatif menghimpunkan aspirasi dan pesanan digital warga universiti untuk generasi akan datang.

Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Datuk Tiyunin berkata, pelaksanaan program tersebut merupakan usaha strategik universiti dalam membina masyarakat berilmu selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

“Transformasi ke arah digital ini selari dengan visi universiti untuk memartabatkan teknologi dalam penyebaran ilmu serta penyimpanan memori institusi.

“Kita mahu budaya membaca menjadi gaya hidup yang sebati dalam jiwa warga kampus, bukan sekadar rutin akademik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, program itu juga menyokong pembudayaan ilmu selain menggalakkan penglibatan aktif warga universiti sejajar dengan aspirasi The Brain of Borneo.

“Ia juga sebahagian daripada usaha menyokong gerakan nasional Dekad Membaca Kebangsaan (2020–2030) serta sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2014, program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ menjadi tradisi tahunan yang melibatkan seluruh warga universiti.

Menerusi program itu, warga kampus menghentikan seketika rutin harian bagi menyertai aktiviti membaca secara serentak selama 10 minit bermula jam 11 pagi sebagai simbolik sokongan terhadap pembudayaan ilmu.

Sambutan tahun ini turut diperkaya dengan pelbagai pengisian tambahan termasuk aktiviti Jom Baca @ Gunung Kinabalu yang diadakan pada 15 April lalu.

Selain itu, tayangan cinematic montage bertajuk JomBaca@UMSDalamSejarah turut dipersembahkan bagi menelusuri sejarah pelaksanaan program serta perkembangan kepimpinan universiti sejak penubuhannya pada 1995.

Program tersebut dilaksanakan secara hibrid menerusi platform Webex dan Facebook Live bagi membolehkan penyertaan lebih meluas termasuk dalam kalangan alumni di luar kampus.

Kemuncak program menyaksikan pelancaran UMS 2035 Digital Time Capsule yang memberi ruang kepada warga kampus, alumni serta Ahli Lembaga Pengarah Universiti menitipkan pesanan digital sebagai rekod aspirasi masa depan.

Kapsul masa digital itu akan disimpan secara maya dan hanya akan dibuka semula pada 2035 sempena ulang tahun ke-40 penubuhan UMS.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah dan Perpustakaan Negara Malaysia bagi menyokong aspirasi pembudayaan membaca secara berterusan ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara pembaca menjelang 2030.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Sabah ambil alih pengurusan alam sekitar November depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular