HomeUtamaHUMS dibuka kepada orang awam menjelang Jun 2026

HUMS dibuka kepada orang awam menjelang Jun 2026

Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) akan memulakan operasi secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada warga kampus sebelum dibuka kepada orang awam menjelang Jun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan semua sistem dan proses hospital berfungsi dengan lancar serta mencapai tahap optimum.

“Buat masa ini, lima klinik telah dibuka dan kita memberi perkhidmatan kepada warga UMS terlebih dahulu.

Abdul Rahman Dahlan

“Ini adalah bagi memastikan proses perjalanan dan semua sistem bila dibuka kepada orang awam nanti berada dalam tahap optimum. Apabila semuanya stabil, kita akan buka kepada orang awam, insya-Allah sekitar Jun tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Perubatan Primer UMS di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr Malehah Datuk Mohd Noh.

Abdul Rahman berkata, keseluruhan hospital dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2027 selain memberi penekanan terhadap kualiti perkhidmatan termasuk mengurangkan masa menunggu pesakit.

Abdul Rahman meletakkan replika hospital sebagai simbolik perasmian

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, HUMS turut komited untuk mengurangkan tempoh menunggu pesakit bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih bermaruah dan berkualiti.

Beliau berkata, tempoh menunggu yang terlalu lama tidak mencerminkan perkhidmatan kesihatan yang baik, meskipun pesakit akhirnya berjaya mendapatkan rawatan.

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS)

“Tiada perkhidmatan yang bermaruah jika pesakit perlu menunggu sehingga enam jam untuk berjumpa doktor. Itu bukan standard yang kita mahukan,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahman berkata, pihak pengurusan hospital kini giat mengambil langkah untuk mengurangkan prosedur birokrasi yang dilihat melambatkan proses rawatan pesakit.

Menurut beliau, usaha tersebut bertujuan memastikan setiap individu yang mendapatkan rawatan di HUMS menerima perkhidmatan terbaik dengan lebih cepat dan efisien.

“Hospital ini dibina dengan keupayaan untuk melaksanakan konsep hospital pintar secara menyeluruh. Pada masa hadapan, ia juga mampu menyokong pelbagai penambahbaikan termasuk perkhidmatan berasaskan teknologi pintar sekiranya diperkenalkan oleh kerajaan,” jelasnya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Cadangan tubuh LMMS perkukuh hasil negeri – Masiung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular