KOTA KINABALU: Itali menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Sabah melalui penerokaan peluang kerjasama baharu dalam sektor pelancongan, pendidikan tinggi dan kesihatan awam.
Duta Itali ke Malaysia Raffaele Langella berkata, Sabah kini semakin dikenali di Itali sebagai destinasi pelancongan utama, selain menarik perhatian dari segi kekayaan budaya serta potensi industrinya.
Menurut beliau, pihaknya melihat ruang luas untuk menjalin kolaborasi khususnya dalam sektor universiti dan pelancongan, di samping membincangkan potensi pelaburan dalam bidang kesihatan awam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini
Langella menjelaskan, kunjungan tersebut bertujuan membincangkan hala tuju kerjasama antara kedua-dua pihak, selain membuka laluan kepada pelaksanaan inisiatif yang lebih konkrit pada masa hadapan.

Katanya, usaha itu diharap dapat memperluas lagi hubungan ekonomi dan diplomatik antara Itali dan Sabah, sekali gus memberi manfaat bersama dalam pelbagai sektor strategik.
“Sabah mempunyai potensi besar dan kami berharap kunjungan ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pertemuan dan kerjasama yang lebih erat,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk kembali ke Kota Kinabalu dengan lebih kerap bagi memastikan setiap peluang kerjasama yang dikenal pasti dapat dimanfaatkan sepenuhnya.



