SANDAKAN: Sebanyak 30 rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Bokara, PPH Kampung Karamunting di sini awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 3.16 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan tiba di lokasi kira-kira 18 minit kemudian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian mendapati satu kebakaran melibatkan kawasan kediaman tidak kekal dianggarkan seluas 3.5 ekar yang terbakar 100 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat..
”Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dengan sumber air daripada tangki jentera, water tanker dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, turut dimaklumkan pasukan berjaya menyelamatkan kira-kira 100 buah rumah daripada turut terbakar.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.29 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.01 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Operasi pemadaman melibatkan 21 anggota bomba dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Kebajikan.



