KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menafikan dakwaan telah berkompromi dalam isu tuntutan Pemberian Khas 40 peratus, sebaliknya menegaskan pendirian negeri kekal konsisten mempertahankan hak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tuduhan tersebut adalah tidak tepat kerana kerajaan tidak pernah berganjak daripada prinsip asal yang menetapkan formula pengiraan Pemberian Khas perlu dilaksanakan sepenuhnya.
“Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa Kerajaan Sabah telah berkompromi. Kita kekal berpegang kepada formula asal seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun terdapat peningkatan bayaran interim yang diterima sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia tidak bermakna kerajaan menerima jumlah tersebut sebagai penyelesaian muktamad.
Sebaliknya, katanya, amaun yang diterima ketika ini masih jauh lebih rendah berbanding jumlah sebenar yang sepatutnya diperoleh berdasarkan formula asal 40 peratus.
Menurutnya, bayaran interim tersebut hanyalah satu pengaturan sementara dan tidak menjejaskan hak Sabah untuk terus menuntut jumlah penuh termasuk tuntutan “lost years”.
“Bayaran interim ini adalah tanpa prejudis kepada hak Kerajaan Sabah. Ia bukan amaun mutlak, dan kita akan terus menuntut hak yang sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus mempergiat rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan penuh Pemberian Khas 40 peratus dapat direalisasikan.
Katanya, setiap rundingan yang dijalankan bukan sekadar perbincangan, malah disusuli dengan tindakan susulan termasuk penegasan rasmi pendirian kerajaan negeri.
Kerajaan Sabah, tegasnya, tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan hak negeri, dan akan terus memperjuangkan kepentingan Sabah demi kesejahteraan rakyat.



