HomeUtamaDUN Sabah: Puluhan tahun usahakan tanah, ramai masih belum miliki geran sah

DUN Sabah: Puluhan tahun usahakan tanah, ramai masih belum miliki geran sah

Read Time:1 Minute, 6 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Ramai penduduk Sabah masih belum memiliki geran sah walaupun telah puluhan tahun mengusahakan tanah mereka, kata Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan itu berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat yang hidup dalam ketidakpastian mengenai status tanah yang diusahakan.

“Sebenarnya, masih ramai rakyat, khususnya di kawasan seperti tempat saya Nabawan, yang telah puluhan tahun membuka tanah, mengusahakan kebun dan membina kediaman, namun sehingga hari ini masih belum memiliki geran yang sah,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk hidup dalam ketidakpastian, takut disingkirkan serta risau terhadap masa depan anak-anak mereka.

“Persoalannya, sampai bila kita mahu membiarkan mereka menunggu? Saya menyeru agar proses pengukuran, pengesahan dan pemberian geran dipercepatkan secara tuntas dan berkeadilan.

“Tidak nafikan ada yang suda menerima geran tanah tetapi masih kurang memberangsangkan kerana masih ada yang belum menerima geran tanah mereka,” katanya.

Abdul Ghani turut membangkitkan isu pemberian bantuan dan subsidi pertanian daripada kerajaan yang didakwa masih tidak diterima oleh sebahagian masyarakat di Skim Tanah Nabawan, termasuk ada bantuan yang telah dihentikan.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah atas kunjungan ke Nabawan bagi mengadakan sesi dialog bersama masyarakat berhubung isu tanah Skim Nabawan sebelum ini.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Kerajaan disaran perkasa hab pendidikan di Sungai Manila

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular