HomeUtamaJPNS sasar kekalkan momentum cemerlang pendidikan, bukti anak Sabah mampu bersaing -...

JPNS sasar kekalkan momentum cemerlang pendidikan, bukti anak Sabah mampu bersaing – Raisin

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mensasarkan untuk mengekalkan momentum kecemerlangan pendidikan pada tahun ini selepas mencatat pencapaian membanggakan dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, kejayaan yang dicapai membuktikan anak-anak negeri ini mampu bersaing dan mencapai keputusan cemerlang sekiranya mendapat sokongan berterusan daripada guru serta ibu bapa.

Beliau berkata, peningkatan prestasi akademik di negeri ini juga dapat dilihat menerusi pertambahan jumlah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang berjaya mencatat keputusan di bawah Gred Purata Negeri (GPN).

“Kita melihat bagaimana bertambahnya bilangan PPD yang berjaya mencatat keputusan di bawah gred purata negeri dan ini merupakan satu perkembangan yang sangat menggembirakan.

“Daripada 24 PPD di Sabah, sebanyak 15 PPD berjaya mencatat gred purata di bawah lima dan ia memberi sumbangan besar kepada pencapaian Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini, pada Khamis.

Raisin berkata, Sabah turut mencatat Gred Purata Negeri sebanyak 4.85 mata, sekali gus menjadi pencapaian terbaik yang menunjukkan keputusan pendidikan negeri kini semakin seimbang dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Kali pertama Sabah dapat mencatat keputusan yang seimbang dengan negeri lain dan kita berharap momentum kerja ini dapat diteruskan pada tahun 2026,” katanya.

Dalam pada itu, Raisin berkata pengiktirafan kepada pelajar cemerlang melalui penganjuran majlis anugerah seperti itu penting sebagai pembakar semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Katanya, kejayaan pelajar bukan sahaja bergantung kepada usaha individu, malah memerlukan kerjasama erat antara pihak sekolah, guru dan ibu bapa.

“Hari ini kita memberikan anugerah kepada pelajar SPM yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil dan ini membuktikan anak-anak Sabah boleh berjaya jika semua pihak bekerjasama memastikan kecemerlangan mereka,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Isu ‘stateless’: Nico dibicara tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular