KOTA KINABALU : Sebanyak 80 peratus daripada 5,400 peluang pekerjaan yang ditawarkan menerusi penganjuran Karnival Lindung Kerjaya MyFuturejobs Peringkat Negeri Sabah 2026 melibatkan penempatan kerja di negeri ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, jumlah itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperluaskan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Beliau berkata, karnival berkenaan turut menghimpunkan sebanyak 54 majikan daripada pelbagai sektor industri di Sabah.
Menurutnya, penganjuran karnival itu bertujuan memastikan lebih banyak ruang pekerjaan dapat disediakan khususnya kepada anak-anak Sabah selain membantu mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.
“Daripada 5,400 peluang pekerjaan yang disediakan, sebanyak 80 peratus adalah peluang pekerjaan yang wujud di Negeri Sabah sendiri.
“Apa yang paling penting, kita mahu memastikan peluang pekerjaan dan kadar pengangguran di Negeri Sabah dapat diturunkan di samping meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Karnival Kerjaya Peringkat Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.
Firdaus berkata, usaha berkenaan selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan modal insan dan pengukuhan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan melancarkan Sabah Talent Development Centre (STDC) dalam masa terdekat bagi memperkukuh pembangunan bakat dan tenaga kerja negeri.
Katanya, STDC akan berperanan sebagai pusat sehenti yang bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, malah memastikan latihan dan pembangunan kemahiran yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan industri semasa.
“Pusat ini akan memainkan peranan signifikan untuk memastikan setiap latihan dan tindakan yang dibuat memenuhi cita rasa industri,” katanya.
Tambah beliau, kewujudan STDC juga dijangka memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan, khususnya menerusi PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). – SABAH MEDIA



