HomeUtamaDua warga Filipina ditahan, disyaki bawa 35 batang kayu bergergaji secara haram

Dua warga Filipina ditahan, disyaki bawa 35 batang kayu bergergaji secara haram

Read Time:1 Minute, 9 Second

LAHAD DATU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua warga Filipina yang disyaki membawa 35 batang kayu bergergaji di perairan Kunak awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan hasil maklumat risikan kira-kira jam 5 pagi di kedudukan 0.3 batu nautika barat daya Jeti Pangkalan Kunak menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.

“Vesel berwarna merah itu dikesan dalam keadaan mencurigakan apabila beberapa batang kayu terapung diikat bersama vesel tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan oleh dua lelaki warga Filipina masing- masing berusia 51 dan 33 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 35 batang kayu bergergaji yang dipercayai dicuri dari kawasan Pulau Timbun Mata.

Menurutnya, ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Kes disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 / Enakmen Hutan 1968 Sabah kerana memiliki kayu bergergaji tanpa kebenaran yang sah, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dzulfikhar dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan aktiviti jenayah maritim di perairan negara.

Tambahnya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

RELATED ARTICLES
Utama

Anwar umum peruntukan lebih RM31 juta pacu pembangunan Pulau Banggi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular