PENAMPANG : Seramai lebih 2,000 pengunjung hadir memeriahkan Konsert 8070 yang diadakan sempena sambutan Ulang Tahun RTM ke-80 dan Jubli Platinum 70 Tahun Radio RTM Sabah di sini pada Sabtu.
Konsert yang dimeriahkan dengan kehadiran artis tempatan itu adalah sebagai penghargaan buat pendengar serta penonton setia yang terus menyokong stesen penyiaran berkenaan sepanjang tujuh dekad di negeri ini.
Tirai persembahan dibuka dengan rangkaian lagu medley era 90-an oleh barisan penghibur RTM, sebelum pentas terus dihangatkan dengan penampilan artis popular tanah air, Afieq Shazwan membawakan lagu Rindunya Rindu, Layu di Hujung Mekar dan duet bersama Joy iaitu lagu Bintang selain Haziq Rosebi yang mempersembahkan lagu Nurlela, Zuraida dan Lemak Manis.

Turut mencuri tumpuan ialah barisan bakat tempatan Sabah seperti Rey Kimara mendendangkan lagu tempatan Sabah iaitu Fikir-fikir Dulu yang dipopularkan oleh Datuk Francis Landong dan lagu Pukulan Borneo disusuli Sitipah Jahamin dengan lagu Sumandak Sabahan dan Sumilah Poh Bulan, Joy (Kau Curangi Aku dan Seperti Mati Lampu) dan Dhania dengan lagu Padan Muka dan I Will Survive nyanyian Gloria Gaynor.
Kemuncak acara diteruskan dengan persembahan legenda seni suara negara, Ramlah Ram yang memukau penonton dengan kelunakan vokal mantapnya melantunkan lagu Cintaku Hanyut di Lautan Sepi, Diam-diam Jatuh Cinta dan Kau Kunci Cintaku.

Sepanjang dua jam konsert berlangsung, para hadirin disajikan dengan gabungan lagu malar segar dan hits semasa yang mencetuskan suasana gamat dengan sorakan peminat.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Program Radio, Jabatan Penyiaran Malaysia, Saifuzzaman Yusop dan Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali.



