KOTA MARUDU: Generasi muda di negeri ini diseru agar terus menghargai dan memelihara budaya serta tradisi warisan sebagai identiti penting rakyat Sabah yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, golongan belia memainkan peranan besar dalam memastikan adat dan budaya pelbagai kaum di Sabah terus kekal relevan meskipun berdepan arus pemodenan.
Beliau berkata, warisan budaya bukan sahaja perlu dipelihara, malah harus dijadikan asas dalam membentuk jati diri yang kukuh dalam kalangan generasi muda.
“Golongan muda perlu terus menghargai budaya dan tradisi warisan sambil mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan dengan semangat perpaduan dan jati diri yang kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kota Marudu di Pentas Terbuka, Padang Kota Marudu, di sini pada Ahad.
Katanya, sambutan Pesta Kaamatan bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi platform penting untuk mendidik generasi muda mengenai nilai perpaduan, hormat-menghormati dan kepentingan mengekalkan identiti budaya masyarakat Sabah.
Menurutnya, keunikan budaya masyarakat pelbagai kaum di negeri ini perlu terus dipertahankan kerana ia merupakan khazanah berharga yang menjadi kebanggaan Sabah.
“Budaya dan adat warisan adalah lambang identiti rakyat negeri ini. Jika tidak dipelihara oleh generasi muda, kita bimbang ia akan semakin dilupakan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata semangat kebersamaan yang ditunjukkan masyarakat menerusi sambutan Kaamatan membuktikan bahawa budaya mampu menjadi medium penyatuan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Tambah beliau, generasi muda juga perlu mengambil peluang daripada sambutan seperti Kaamatan untuk mengenali sejarah, adat resam dan seni budaya masyarakat tempatan.



