HomeUtamaMonsun barat daya bermula hari ini, berterusan hingga September

Monsun barat daya bermula hari ini, berterusan hingga September

Read Time:1 Minute, 13 Second

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan musim Monsun Barat Daya dijangka akan bermula hari ini dan akan berterusan sehingga September depan.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, berkata musim berkenaan berlaku apabila angin mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, kadar kelembapan udara lazimnya lebih rendah, sekali gus menyebabkan pembentukan awan hujan berkurangan di kebanyakan kawasan.

“Negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain, dengan bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding hari hujan,” katanya dalam kenyataan media.

Bagaimanapun, katanya, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, khususnya pada awal pagi.

Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada fenomena garis badai, iaitu barisan ribut petir yang terbentuk di perairan Selat Melaka dan timur Laut China Selatan sebelum bergerak ke daratan.

“Semasa kemuncak Monsun Barat Daya antara Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan pembakaran terbuka bagi menghindari pencemaran udara dan bencana jerebu.

“Selain itu, masyarakat juga digalakkan menggunakan air secara berhemah memandangkan taburan hujan dijangka berkurangan sepanjang musim tersebut,” katanya.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi mudah alih myCuaca serta media sosial rasmi jabatan berkenaan.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

RELATED ARTICLES
Utama

Adab Dalam Penyampaian Agama Harus Dipelihara, Majlis Agama Islam Terengganu Harus...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular