KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Usukan,Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata perbincangan berhubung Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memperlihatkan wujudnya jurang perspektif yang jelas antara Semenanjung Malaysia dengan negeri-negeri di Borneo.
Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman Facebook beliau hari ini, Salleh berkata isu UEC di Semenanjung sering dikaitkan dengan identiti nasional, kedudukan Bahasa Melayu dan sistem pendidikan kebangsaan sehingga perkara yang sepatutnya berkisar soal kelayakan akademik bertukar menjadi perdebatan politik.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini turut mengingatkan agar isu berkenaan tidak dipolitikkan memandangkan ia masih dianggap sensitif di peringkat nasional.
Menurutnya, keadaan berbeza di Sabah dan Sarawak apabila kedua-dua negeri itu mengambil pendekatan lebih praktikal terhadap UEC.
“UEC secara umumnya diterima sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan pelbagai aliran yang mencerminkan masyarakat majmuk di kedua-dua negeri,” katanya.
Salleh berkata di Sabah, ramai pelajar Bumiputera turut mengikuti pengajian di sekolah menengah persendirian Cina, sekali gus menunjukkan keluarga lebih menitikberatkan soal kualiti pendidikan dan peluang masa depan berbanding polemik politik.
Katanya, keutamaan di Sabah dan Sarawak lebih tertumpu kepada akses pendidikan, keterangkuman dan pembangunan modal insan.
Beliau berkata perbezaan pendekatan itu turut memperlihatkan bagaimana perspektif antara pusat Persekutuan dan negeri-negeri Borneo dibentuk berdasarkan realiti tempatan masing-masing.
“Secara keseluruhannya, isu UEC bukan sekadar berkaitan dasar pendidikan semata-mata, tetapi turut mencerminkan perbezaan keutamaan politik dan sosial dalam Malaysia,” katanya.



