HomeUtamaBekas pengarah Jabatan Air Sabah dipenjara 96 tahun, denda RM284.3 juta

Bekas pengarah Jabatan Air Sabah dipenjara 96 tahun, denda RM284.3 juta

Read Time:3 Minute, 36 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Bekas pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 96 tahun atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini.

Lelaki berusia 63 tahun itu turut dikenakan denda keseluruhan RM284.3 juta dan sekiranya gagal membayar denda, boleh dipenjara 78 bulan.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda antara RM5 juta hingga RM120 juta bagi setiap pertuduhan. Jika gagal membayar denda, tertuduh berdepan penjara antara enam hingga 12 bulan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ag Mohd Tahir untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Ag Mohd Tahir kini dibebaskan dengan jumlah dan syarat jaminan yang sama selepas mahkamah mengekalkan jaminan yang diberikan ketika beliau pertama kali didakwa di mahkamah.

Jaminan Ag Mohd Tahir adalah sebanyak RM2 juta, dengan RM100,000 dibayar secara tunai manakala RM1.5 juta lagi dijamin menggunakan hartanah.

Terdahulu, Ag Mohd Tahir didapati bersalah terhadap kesemua 12 pertuduhan selepas mahkamah memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, khususnya berkaitan elemen penting dalam pertuduhan.

“Oleh itu Mahkamah berpendapat alasan atau penjelasan yang diberikan Ag Mohd Tahir ketika kes pembelaan hanyalah perkara yang timbul selepas kejadian ini berlaku iaitu selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat serbuan dan penggeledahan terhadap pejabat, rumah-rumah dan juga kereta-kereta milik tertuduh.

“Pada pendapat Mahkamah ia adalah perkara yang baru difikirkan (afterthought) dimana ia jelas tidak mencukupi untuk menimbulkan keraguan munasabah seterusnya menolak atau menyangkal keterangan yang telah diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan,” kata hakim.

Sementara itu, isteri Ag Mohd Tahir, Fauziah Piut, 61, dan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng, 72, yang dibicarakan bersama dalam kes pengubahan wang haram itu, dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan terhadap mereka.

Mahkamah memutuskan adalah tidak selamat untuk mensabitkan mereka. Fauziah turut dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan bersama Ag Mohd Tahir selepas pendakwaan gagal membuktikan elemen niat bersama.

Ketiga-tiga tertuduh — Ag Mohd Tahir, Fauziah dan Lim — didakwa pada 29 Disember 2016 dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dikenakan.

Ag Mohd Tahir selaku tertuduh pertama berdepan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Fauziah selaku tertuduh kedua pula berdepan 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) akta sama.

Fauziah and Ag Tahir  turut berdepan dua pertuduhan bersama di bawah Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ag Mohd Tahir dan isterinya didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di sini, sebuah rumah di Sembulan, beberapa cawangan bank, sebuah kondominium di Sulaman dan sebuah menara di Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016.

Lim pula berdepan empat pertuduhan kerana didakwa memiliki sebuah Toyota Land Cruiser, wang tunai RM200,000, RM1.9 juta dan RM280,000 yang dipercayai hasil aktiviti haram di pejabat SPRM di Jalan UMS dan sebuah rumah di sini antara 13 Oktober hingga 8 November 2016.

Selepas beberapa siri penangguhan, perbicaraan bermula pada 7 Mei 2018 dengan pihak pendakwaan memanggil 46 saksi.

Semasa pembelaan, Ag Mohd Tahir memanggil 15 saksi termasuk beberapa saksi berprofil tinggi seperti bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Fauziah hanya memberi keterangan tidak bersumpah semasa pembelaannya dan selebihnya bergantung kepada saksi yang dipanggil oleh Ag Mohd Tahir, manakala Lim memberi keterangan bersumpah sebagai saksi tunggal dalam pembelaannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T. Rining dan Noorsyazwani Sapri.

Lim pula diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong.

Untuk rekod, bekas timbalan pengarah Jabatan Air Sabah, Teo Chee Kong, mengaku tidak bersalah pada 13 Disember 2016 terhadap 146 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM32.923 juta.

Beliau pada awalnya dijadual dibicarakan bersama tiga tertuduh lain. Bagaimanapun, Teo dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah sama pada 17 Mac 2022 sebelum menjadi saksi pendakwaan dalam kes terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Pada 18 Februari 2022, Teo dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap semua 146 pertuduhan sebelum SPRM kemudian mengenakan kompaun RM30 juta terhadapnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki dipenjara 24 bulan kerana curi elektrik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular