HomeUtamaKeluarga moden berdepan cabaran semakin kompleks - Julita

Keluarga moden berdepan cabaran semakin kompleks – Julita

Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Keluarga masa kini berdepan cabaran yang semakin kompleks akibat tekanan kos sara hidup, tuntutan kerjaya, perubahan gaya hidup serta pengaruh dunia digital.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, meskipun Indeks Kesejahteraan Malaysia 2024 meningkat kepada 120.6 mata berbanding 119.4 mata pada tahun sebelumnya, cabaran kesejahteraan keluarga masih memerlukan perhatian serius.

“Walaupun indikator menunjukkan peningkatan, ramai keluarga masih berdepan tekanan kos sara hidup, cabaran kesihatan mental dan kesukaran mengimbangi tuntutan kerja serta kehidupan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri di Sabah Oriental Hotel, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, purata saiz isi rumah di Sabah kekal sekitar 4.6 orang, sekali gus mencerminkan kekuatan institusi keluarga.

Bagaimanapun katanya, tekanan kehidupan moden terus memberi cabaran kepada keluarga masa kini.

“Saiz isi rumah yang stabil tidak semestinya bermaksud tekanan dalam keluarga turut berkurang kerana cabaran hari ini semakin kompleks melibatkan kos sara hidup, tuntutan kerjaya dan perubahan gaya hidup,” katanya.

Julita berkata, purata umur ibu yang melahirkan anak pertama di Sabah meningkat kepada 27.5 peratus pada 2023, menunjukkan perubahan struktur keluarga moden.

Katanya, keadaan itu mencerminkan perubahan gaya hidup dan keutamaan wanita hari ini yang lebih memberi fokus kepada kestabilan kerjaya, persediaan ekonomi dan perancangan keluarga.

Beliau berkata, tema Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan, “Seteguh Kasih Ibu”, amat bertepatan dengan peranan ibu sebagai benteng keluarga dan pembentuk generasi dalam mendepani cabaran dunia moden.

“Ibu hari ini bukan sahaja mendidik anak-anak, tetapi turut menjadi tunjang kestabilan emosi, nilai dan hala tuju keluarga,” katanya.

Menurutnya, cabaran mendidik anak-anak kini semakin besar akibat pengaruh digital dan media sosial yang mewujudkan pelbagai tekanan baharu terhadap institusi keluarga.

Justeru katanya, ibu perlu terus memperkukuhkan ilmu dan pendekatan keibubapaan bagi memastikan nilai positif dalam keluarga dapat dipertahankan.

Dalam pada itu, Julita berkata wanita masa kini turut berdepan cabaran besar dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga, selaras dapatan kajian “Life Satisfaction among Women in Sabah, Malaysia: A Quantitative Study” tahun 2025.

“Keadaan ini menunjukkan perlunya sokongan lebih menyeluruh kepada wanita termasuk persekitaran kerja mesra keluarga, akses kesihatan berkualiti dan perlindungan sosial yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menegaskan sokongan terhadap kesihatan mental wanita dan ibu perlu terus diperkukuhkan terutama dalam menghadapi cabaran selepas bersalin, tekanan emosi dan tuntutan kehidupan moden.

Pada majlis itu, Faineh Modirim diumumkan sebagai penerima Anugerah Inspirasi Ibu 2026 sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan pengorbanannya sebagai ibu tunggal dalam membesarkan anak-anak sehingga berjaya.

Beliau yang aktif dalam bidang pendidikan dan keusahawanan menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan serta selempang penghormatan yang disampaikan Julita.

Turut hadir Setiausaha Tetap KWKKR, Maria Chong; Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah mewakili Ketua Pengarah LPPKN, Halil Omar; Timbalan Setiausaha Tetap KWKKR, Alijah Ismail; Pengerusi Majlis Wanita KDCA, Joanna Kitingan; Pengarah LPPKN Sabah, Shahriah Saharom serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah kekal status negeri karbon negatif

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular