HomeUtamaAKPS tumpas sindiket seludup terbesar ayam beku bernilai RM5.8 juta

AKPS tumpas sindiket seludup terbesar ayam beku bernilai RM5.8 juta

Read Time:2 Minute, 39 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan terbesar ayam sejuk beku di negara ini selepas mengesan 26 kontena mengandungi produk haiwan itu bernilai lebih RM5.8 juta di Pelabuhan Sepanggar, di sini.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, daripada jumlah itu, 14 kontena berjaya diperiksa dan disahkan mengandungi 404,232 kilogram ayam sejuk beku bernilai lebih RM2.4 juta yang dipercayai berasal dari China dan Hong Kong.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan hasil kerjasama AKPS bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah susulan maklumat risikan diterima pada 19 Mei lalu.

“Bertindak atas maklumat itu, saya menghantar sepasukan pegawai AKPS dari Putrajaya ke Sabah untuk menjalankan pengesahan serta koordinasi bersama pihak Kastam dan Veterinar Sabah.

“Hasil pemeriksaan bermula 21 Mei lalu di kawasan Custom Examination Area (CEA), Pelabuhan Sepanggar, kita mendapati kesemua 14 kontena terbabit mengandungi ayam sejuk beku yang dibawa masuk menggunakan pengikraran palsu,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Sepanggar di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati kontena berkenaan diikrarkan sebagai membawa masuk ubi kentang dan kacang pis, namun pemeriksaan menemukan produk ayam sejuk beku.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan membuat perakuan atau dokumen tidak benar dalam perkara material.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya turut mengenal pasti 12 lagi kontena dianggarkan melibatkan berat keseluruhan sebanyak 348,000 kilogram dengan nilai dagangan berjumlah RM3,422,000.00 dan dipercayai juga berasal dari China serta Hong Kong.

“Kontena dipercayai menggunakan modus operandi sama, namun pemeriksaan masih belum dapat dijalankan berikutan beberapa kekangan teknikal.

“12 kontena itu kini dipantau pihak kastam untuk tindakan lanjut dan jika disahkan mengandungi produk sama, ia akan menjadikan rampasan terbabit antara kejayaan terbesar membabitkan pengimportan makanan secara tidak sah di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati produk berkenaan sudah siap dipaketkan dalam kotak berlabel dari Thailand dan Malaysia, termasuk menggunakan nama lokasi di Melaka dan Ipoh.

“Ada juga label tertera ‘only for Sabah’ pada kotak berkenaan. Kita percaya proses pembungkusan telah dilakukan lebih awal di negara pengeksport sebelum dihantar masuk ke Sabah,” katanya.

Menurutnya, kemasukan produk ayam sejuk beku dari China dan Hong Kong adalah tidak dibenarkan di Sabah berdasarkan peraturan veterinar negeri.

Beliau berkata, selain isu pematuhan undang-undang, aspek keselamatan makanan turut menjadi kebimbangan kerana status kesihatan produk berkenaan tidak dapat dipastikan.

“Kita tidak tahu sama ada ayam ini bebas penyakit atau boleh memudaratkan pengguna. Sebab itu tindakan penguatkuasaan ini penting demi melindungi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Mengulas kemungkinan penglibatan sindiket, Mohd Shuhaily berkata, kuantiti besar dan kaedah pembungkusan digunakan menunjukkan kegiatan itu dipercayai didalangi kumpulan jenayah terancang.

Katanya, pihak berkuasa juga akan menyemak kesahihan logo halal yang tertera pada kotak produk terbabit bersama pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Melihat kepada kuantiti yang begitu besar, saya percaya kegiatan ini dilakukan secara terancang dan melibatkan rangkaian tertentu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada tangkapan dilakukan setakat ini kerana siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik dan rangkaian terlibat.

RELATED ARTICLES
Utama

Perbicaraan rasuah dua bekas ADUN Sabah ditangguh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular