KOTA KINABALU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal memasyhurkan nama baharu bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu sebagai penghormatan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemasyhuran nama baharu itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat selepas mendapat persetujuan rasmi daripada Tun Musa.
Menurut beliau, perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat beliau bersama pegawai kanan MARA terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu pada Isnin.
“Kunjungan hormat pada hari ini adalah untuk menyampaikan hasrat kami secara rasmi bagi mendapatkan persetujuan Tun Musa, setelah Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pernah mengisytiharkan untuk menamakan dan memasyhurkan MRSM Kota Kinabalu dengan nama Tun Musa Aman.
“Kunjungan ini juga adalah bagi mendapatkan persetujuan daripada Tun Musa supaya pemasyhuran itu dapat disegerakan.

“Alhamdulillah, Tun Musa amat berbesar hati menerimanya dengan penuh rasa penghargaan dan pemasyhuran dijangka akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan berkenaan.
Beliau berkata, nama rasmi baharu MRSM itu akan diumumkan oleh pejabat Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam masa terdekat.
Asyraf berkata, cadangan penamaan itu merupakan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Tun Musa dalam pembangunan pendidikan serta kemajuan negeri Sabah sepanjang penglibatan beliau dalam pentadbiran kerajaan negeri dan negara.
Terdahulu, Tun Musa turut menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Urusan WCT Holdings Berhad, Anthony Teoh.
Anthony berkata, kunjungan tersebut bertujuan mengemukakan beberapa cadangan pembangunan kepada Tun Musa termasuk membabitkan sektor bekalan air dan pembangunan lapangan terbang di Sabah.
Menurutnya, pihak syarikat komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memperkukuhkan pembangunan infrastruktur serta kemudahan awam demi manfaat rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri.



