HomeUtamaPesta Bangkar platform pelihara warisan Orang Sungai - James

Pesta Bangkar platform pelihara warisan Orang Sungai – James

Read Time:1 Minute, 59 Second

RANAU: Pesta Bangkar menjadi platform penting dalam memelihara dan memperkenalkan warisan budaya masyarakat Orang Sungai kepada generasi muda serta masyarakat umum, kata Datuk James Ratib.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah itu berkata budaya, adat resam, bahasa serta nilai-nilai tradisi yang diwarisi turun-temurun perlu terus dipelihara agar tidak luput ditelan arus kemodenan.

Menurutnya, KPSTI Sabah akan terus menyokong usaha pemeliharaan dan pengukuhan warisan budaya masyarakat Sabah sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan dan pembentukan jati diri rakyat negeri ini.

“Pesta Bangkar bukan sekadar acara kebudayaan, malah menjadi medium yang menyatukan masyarakat, memperkukuhkan semangat perpaduan serta memperkenalkan keunikan warisan masyarakat Orang Sungai kepada generasi akan datang.

“Dalam era pembangunan dan kemajuan teknologi hari ini, kita perlu memastikan warisan budaya terus dihargai dan dipelihara sebagai asas kepada pembentukan jati diri masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Justinus Jalang, sempena Majlis Penutupan Pesta Bangkar 2026 di Kampung Meridi, Ranau, pada Jumaat.

James berkata, pendidikan kekal menjadi kunci utama dalam melahirkan generasi berpengetahuan, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menerusi KPSTI terus memberi penekanan kepada usaha memperkukuh akses pendidikan, memperluas penggunaan teknologi dan memperkasa pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan luar bandar.

“Kita mahu melihat anak-anak Sabah, termasuk di Ranau, mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dan mencapai cita-cita mereka. Mereka perlu dilengkapi dengan ilmu, kemahiran serta nilai-nilai murni agar mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan teknologi dan inovasi perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara identiti serta warisan budaya masyarakat.

Menurutnya, generasi muda perlu celik teknologi, namun pada masa yang sama memahami asal-usul, menghormati adat resam dan menghargai budaya yang diwariskan oleh nenek moyang mereka.

Dalam pada itu, James mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM10,000 bagi menyokong penganjuran Pesta Bangkar 2027, sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap usaha berterusan Persatuan Orang Sungai Ranau dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Orang Sungai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Orang Sungai Ranau, jawatankuasa penganjur, para sukarelawan, pemimpin masyarakat serta semua pihak yang telah menjayakan Pesta Bangkar 2026.

Katanya, usaha seperti Pesta Bangkar wajar diteruskan dan diperkasakan kerana bukan sahaja memperkukuhkan identiti budaya masyarakat, malah menyumbang kepada pembangunan komuniti, penglibatan belia, pengukuhan perpaduan serta pertumbuhan ekonomi setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS laksana MSM, PdP dalam talian bagi dua program asasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular