SANDAKAN : Penduduk dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang cuba mencampuri isu berkaitan komuniti setempat, sebaliknya menyalurkan sebarang permasalahan melalui saluran yang betul.
Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai Manila, Rahmat Iskandar berkata, penduduk boleh mengemukakan sebarang aduan atau masalah kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sungai Manila untuk tindakan lanjut.
“Sekiranya ada sebarang masalah, kemukakan dan maklumkan kepada kami. Perkara itu akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu cadangan perobohan rumah di Kampung Gayan Sibugal yang sebelum ini mendapat perhatian beberapa pihak.
Menurut Rahmat, terdapat pihak tertentu dari luar yang cuba mempolitikkan isu berkenaan, sedangkan perkara itu telah diselesaikan selepas kata sepakat dicapai menerusi mesyuarat pada 5 Jun lalu.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh beliau dan turut dihadiri Ketua Kampung Muksan Mijul, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Adisil Komong, pihak polis, penguat kuasa serta agensi kerajaan berkaitan.

“Hasil perbincangan, persetujuan bersama telah dicapai oleh semua pihak. Isu ini sebenarnya sudah selesai, namun terdapat pihak tertentu yang cuba mempolitikkan perkara tersebut,” katanya.
Rahmat menjelaskan, hasil perbincangan itu mendapati sebanyak 50 buah rumah yang dibina di atas tanah rizab akan dirobohkan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
Katanya, hanya satu keluarga memohon tapak penempatan sementara dan permohonan tersebut telah dipersetujui oleh ketua kampung.
“Hasil semakan mendapati kebanyakan pemilik rumah terbabit mempunyai kediaman lain di kampung berkenaan.
“Tiga keluarga dikenal pasti mempunyai rumah di kawasan penempatan sementara, manakala dua keluarga telah berpindah ke rumah ibu bapa masing-masing. Seorang lagi ditempatkan sementara di tanah Setiausaha JKKK Kampung Sibugal,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa penduduk dikenakan bayaran bagi pemotongan bekalan air dan elektrik, Rahmat menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar.
“Kami telah menghubungi pihak Jabatan Air dan Sabah Electricity (SE), dan kedua-dua pihak menafikan dakwaan berkenaan,” katanya.
Beliau sekali lagi menasihatkan penduduk supaya mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berwajib dan tidak terpengaruh dengan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“Penduduk kampung dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan menghubungi pihak UPPM sekiranya menghadapi sebarang masalah,” katanya.



