HomeUtamaOps Tiris 4.0: Lebih 250 liter petrol dirampas di Semporna

Ops Tiris 4.0: Lebih 250 liter petrol dirampas di Semporna

Read Time:1 Minute, 27 Second

SEMPORNA: Seorang lelaki warga tempatan ditahan manakala petrol, tong gas, enjin sangkut dan sebuah bot dirampas dalam satu operasi di perairan Pulau Boheyan, Semporna.

Kes berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak pada Jumaat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut KPDN Semporna, operasi yang dijalankan kira-kira jam 5.30 pagi itu berjaya merampas 250 liter petrol, 200 liter petrol bercampur minyak 2T, empat tong LPG (Liquefied Petroleum Gas), dua enjin sangkut Yamaha Enduro berkuasa 85 kuasa kuda (HP) dan 75HP, serta sebuah bot kayu berwarna biru.

Lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas gagal mengemukakan kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki dan menyimpan barang kawalan terbabit.

“Nilai rampasan barang kawalan berjumlah RM1,779.60, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk barang bukan kawalan dianggarkan sebanyak RM13,079.60,” menurut kenyataan itu kelmarin.

Susulan itu, KPDN Semporna membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, KPDN menegaskan akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah Semporna dan kawasan perairan sekitarnya.

KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Bagi individu, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda yang boleh dikenakan adalah sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Sebarang aduan dan pertanyaan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KPDN.

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Babulang platform satukan komuniti Bisaya Sabah dan Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular