KOTA KINABALU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan cubaan pengedaran dadah jenis kokain dan ganja bernilai hampir RM3 juta dalam satu serbuan di sebuah premis perkhidmatan kurier di Tawau bulan lalu.
Pengarah Kastam Sabah Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, serbuan kira-kira jam 11.45 pagi pada 21 Mei lalu itu dilaksanakan oleh pasukan operasi penguatkuasaan JKDM Tawau selepas mengesan dua buah kotak mencurigakan yang dipercayai mengandungi bahan terlarang.
“Hasil pemeriksaan ke atas kotak pertama menemukan 10 plastik putih yang mengandungi ketulan berwarna putih disyaki dadah jenis kokain.
“Manakala kotak kedua mengandungi 10 bungkusan aluminium foil berwarna jingga yang berisi bunga kering mampat disyaki dadah jenis ganja,” katanya dalam sidang media di sini.
Menurut beliau, pemeriksaan dan ujian saringan awal mendapati kedua-dua barang kes menunjukkan reaksi positif terhadap dadah berbahaya yang dipercayai jenis kokain dan ganja.

Katanya, jumlah rampasan melibatkan dadah jenis kokain seberat 4.6 kilogram dengan nilai anggaran RM2.04 juta, manakala ganja seberat 10.65 kilogram bernilai kira-kira RM851,712.80.
“Nilai keseluruhan rampasan bagi kes ini dianggarkan berjumlah RM2,900,535.80,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan menghantar bahan terlarang tersebut menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.
Sementara itu, Ahmad Taufik berkata, beberapa rampasan lain turut direkodkan JKDM Sabah melibatkan rokok dan minuman keras tidak berkastam di Keningau, Kota Kinabalu, Kuala Penyu dan Tawau.
“Ini termasuklah cubaan seludup rokok bernilai lebih RM250,000 dan minuman keras serta sebuan kenderaan Toyota Hilux bernilai lebih RM100,000 dan Ops Tuai di Keningau.
“JKDM turut merampas 15,840 liter bir bernilai lebih RM3410,000 di Pelabuhan Sepanggar, 4,992 liter bir bersama sebuah lori di Kuala Penyu bernilai RM247,572.08 selain 61,200 batang rokok pelbagai jenama yang disorokkan dalam sebuah Toyota Fortuner di Tawau.
“Pihak JKDM Sabah turut merampas sebuah Honda Jazz bernilai RM63,250 yang dipercayai tidak berkastam di Kampung Tinagat, Tawau,” katanya.
Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan melibatkan dadah dan komoditi rokok serta minuman keras adalah bernilai lebih RM4 juta.
Dalam pada itu, Ahmad Taufik menggesa orang ramai untuk membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain termasuk dadah.
“Kita turut menasihati agar tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segu ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA



