KOTA KINABALU: Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah akan terus memperkukuh perlindungan pengguna menerusi kerjasama rentas agensi bagi menangani pelbagai cabaran semasa termasuk kos sara hidup, keselamatan makanan, transaksi digital dan ancaman penipuan dalam talian.
Pengerusi Bersama GPN Sabah, Datuk Julita Majungki berkata pendekatan bersepadu itu penting memandangkan isu kepenggunaan kini melibatkan pelbagai sektor dan memerlukan tindakan bersama daripada kementerian, agensi penguatkuasaan serta pihak berkepentingan.
Menurut beliau, Mesyuarat GPN Sabah Bilangan 1/2026 yang diadakan di sini hari ini menjadi platform utama bagi menyelaras pandangan serta memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan, badan pengguna dan rakan berkaitan.
“Pendekatan rentas agensi adalah sangat penting kerana cabaran kepenggunaan hari ini tidak lagi bersifat tunggal, sebaliknya melibatkan pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan makanan dan keselamatan digital.
“Kerjasama yang erat membolehkan tindakan lebih berkesan dilaksanakan demi melindungi kepentingan pengguna,” katanya ketika mempengerusikan bersama mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata perkembangan pesat teknologi dan peningkatan penggunaan platform digital dalam kalangan masyarakat telah membuka pelbagai peluang serta kemudahan kepada pengguna.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu turut meningkatkan risiko penipuan dalam talian, penyalahgunaan data peribadi dan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan kesejahteraan pengguna.
“Scammer bergerak pantas. Justeru, kesedaran dan tindakan semua pihak juga mesti bergerak lebih pantas,” katanya.
Sehubungan itu, Julita berkata usaha memperkukuh literasi digital dan meningkatkan kesedaran pengguna akan terus menjadi antara agenda utama yang digerakkan secara bersama oleh pelbagai agensi berkaitan.
Beliau turut menegaskan bahawa isu kos sara hidup dan keselamatan makanan akan terus diberi perhatian melalui kerjasama strategik antara agensi bagi memastikan kebajikan serta kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.
Menurutnya, GPN Sabah akan terus memainkan peranan sebagai platform penyelarasan strategik dalam memperkukuh tindakan bersepadu antara agensi kerajaan dan rakan strategik yang terlibat dalam aspek kepenggunaan.
“Pengguna yang berilmu ialah pengguna yang berdaya, dan ini adalah asas kepada perlindungan pengguna yang lebih berkesan,” katanya.
Beliau berharap kerjasama yang diperkukuh melalui GPN Sabah dapat terus menyumbang kepada usaha melindungi hak dan kepentingan pengguna, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Turut hadir ialah Pengerusi GPN Sabah, Shahril Nizam Shahidin; Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Maria Chong; Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Fredeck Kantod; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Ramle Kasin; Pengarah Jabatan Kimia Sabah, Harun Ahmad; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Sabah, Ratnawaty Talib; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), Cleopatra Asing; Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), James Bagah; Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara Sabah, Kevin Loh Kian Min; serta Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia Cawangan Sabah, David Chan.



