TAWAU: Seorang inspektor polis bebas daripada tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, pada Jumaat.
Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Faizhad Yahaya melepas dan membebaskan Saharulzaman Alizaman, 42, selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Saharulzaman mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan ketika dihadapkan ke mahkamah pada 8 Julai 2022.
Mengikut pertuduhan pertama Saharulzaman yang ketika itu bertugas sebagai Inspektor di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Lahad Datu, didakwa secara rasuah meminta suapan wang tunai masing-masing sebanyak RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 30 tahun.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan yang menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen, iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Bagi pertuduhan kedua, Saharulzaman didakwa meminta suapan iaitu wang perlindungan sebanyak RM4,000 daripada lelaki yang sama bagi melindungi perniagaan pinjaman wang tanpa lesen yang dijalankan lelaki berkenaan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Ogos 2017 antara kira-kira jam 1.15 tengah hari hingga 4 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Pertuduhan ketiga menyatakan, Saharulzaman didakwa menerima wang tunai sebanyak RM17,000 daripada individu yang sama pada 16 Ogos 2017 antara kira-kira jam 3.09 petang hingga 4 petang di dalam sebuah kereta Perodua Alza di sekitar Double Bay, Bandar Lahad Datu.
Bagi dua pertuduhan meminta rasuah, Saharulzaman didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala pertuduhan menerima rasuah dibuat mengikut Seksyen 17(a) akta yang sama.
Kesemua pertuduhan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1)(a) dan (b) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.



