BEAUFORT: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) mengambil langkah baharu dalam memperkukuh industri getah negeri menerusi pengeluaran bantal berasaskan lateks tempatan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 120,000 pekebun kecil getah di Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi meningkatkan nilai tambah lateks yang dihasilkan di negeri ini, yang sebelum ini kebanyakannya dieksport ke Johor untuk kegunaan industri sarung tangan.
Menurutnya, pengurusan LIGS telah mengubah suai kilang sedia ada bagi membolehkan pemprosesan bantal yang diperbuat sepenuhnya daripada lateks keluaran Sabah.
“Tujuan utama projek ini adalah untuk menambah nilai lateks yang kita hasilkan di Sabah. Sebelum ini, lateks dieksport terus ke Johor, namun hasil penilaian yang dibuat mendapati pemprosesan di negeri ini mampu meningkatkan nilai produk dan secara tidak langsung memberi pulangan lebih baik kepada pekebun kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat kilang pemprosesan bantal lateks LIGS di sini, pada Jumaat.
Jamawi berkata, kilang berkenaan memulakan pengeluaran pertama pada 29 Mei lalu dan kini telah beroperasi selama dua minggu.
Katanya, usaha yang diterajui LIGS itu mampu membuka lembaran baharu kepada industri getah Sabah selain meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui pembangunan industri hiliran.
Menurutnya, kapasiti semasa kilang itu mampu menghasilkan sehingga 400 bantal sehari bagi operasi lapan jam dan jumlah itu boleh ditingkatkan mengikut permintaan pasaran.
“Produk bantal lateks keluaran LIGS mempunyai potensi besar untuk bersaing dengan produk import yang kini dijual pada harga sekitar RM399 hingga RM400 seunit.
“Kita mahu menawarkan produk berkualiti pada harga yang lebih berpatutan. Yang penting, ada pulangan kepada pekebun kecil dan pada masa sama pengguna memperoleh produk berkualiti,” katanya.
Selain menghasilkan bantal, sisa pemotongan lateks yang tidak digunakan turut diproses menjadi produk cenderamata berbentuk monyet probosis.
Jamawi berkata, produk berkenaan berpotensi dipromosikan sempena Tahun Melawat Sabah 2027 menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
“Sekiranya produk ini mendapat sambutan dan memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan, ia berpotensi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, Sabah mempunyai kira-kira 500,000 ekar tanaman getah yang diusahakan oleh lebih 120,000 pekebun kecil, dengan Tenom merekodkan keluasan tanaman getah terbesar di negeri ini.
“Golongan inilah yang perlu kita bantu. Hari ini harga getah juga menunjukkan peningkatan kepada sekitar RM10 sekilogram berbanding kira-kira RM7 beberapa bulan lalu dan perkembangan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pekebun getah di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya turut merancang memperluaskan industri hiliran getah menerusi pembangunan fasa kedua yang berpotensi dilaksanakan di Tenom dalam tempoh beberapa tahun akan datang, bergantung kepada kejayaan projek perintis di Beaufort.
Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam; Pengurus Besar LIGS, Sabdil Tanjong; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ramle Kasin; serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Dato Shawn Davey.



