HomeUtamaMahasiswa UMS bantu komuniti Kampung Natai bangunkan sistem akuakultur lestari

Mahasiswa UMS bantu komuniti Kampung Natai bangunkan sistem akuakultur lestari

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Sebuah sistem akuakultur tangki aliran berterusan berasaskan graviti berjaya dibangunkan di Kampung Natai, Telipok menerusi program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang dilaksanakan oleh 52 mahasiswa Program Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Pensyarah Program Kejuruteraan Mekanikal UMS, Dr. Mohd Kamel Wan Ibrahim berkata sistem berkenaan direka bagi membantu komuniti setempat menjalankan aktiviti penternakan ikan secara lebih lestari dengan memanfaatkan sumber air graviti dari kawasan tanah tinggi tanpa memerlukan penggunaan pam mekanikal.

Beliau berkata inisiatif itu diperkenalkan sebagai pendekatan yang berpotensi menyokong agenda jaminan makanan melalui penyediaan sumber protein yang lebih mampan di peringkat komuniti.

“Sistem ini menggunakan aliran air semula jadi yang mengalir secara berterusan ke dalam tangki ternakan, sekali gus membantu mengekalkan kualiti air dan mengurangkan pengumpulan ammonia yang boleh menjejaskan tumbesaran ikan.

“Selain menjimatkan kos operasi kerana tidak bergantung kepada tenaga elektrik, sistem ini juga lebih sesuai untuk kawasan berbukit seperti Kampung Natai yang mempunyai sumber air graviti,” katanya.

Menurut beliau, penggunaan tangki polietilena yang dipasang di atas permukaan tanah turut mengurangkan risiko hakisan dan tanah runtuh berbanding pembinaan kolam tanah konvensional.

Projek tersebut dilaksanakan menerusi kursus KM21003 Mekanik Bendalir 2 bagi Semester 2 Sesi Akademik 2025/2026 dan memberi manfaat kepada kira-kira 80 penduduk kampung termasuk 10 peserta yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan sistem berkenaan.

Mohd Kamel berkata projek itu turut menjadi platform pembelajaran autentik kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam kursus berkenaan ke dalam situasi sebenar masyarakat.

“Mahasiswa berpeluang menerapkan pengetahuan berkaitan aliran bendalir, Persamaan Bernoulli, kehilangan tenaga dalam saluran paip serta kawalan kadar aliran air dalam pembangunan sistem sebenar.

“Pada masa sama, mereka turut memperoleh pengalaman berinteraksi dengan komuniti dan menyelesaikan masalah secara praktikal, selaras dengan objektif pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan menerusi SULAM,” katanya.

Program itu mendapat sokongan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N18 Inanam dan dibiayai oleh Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik UMS menerusi Dana Khas Kecemerlangan berjumlah RM5,000.

Mohd Kamel menambah projek berkenaan membuktikan kepakaran kejuruteraan yang dimiliki universiti mampu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuh aspek keselamatan dan jaminan makanan komuniti luar bandar.

RELATED ARTICLES
Utama

Koperasi di Sabah perlu berani transformasi perniagaan, teroka sektor baharu –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular