KUALA LUMPUR: Malaysia dan Persekutuan Rusia meneroka potensi memperkukuh kerjasama strategik termasuk dalam sektor tenaga bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga dan minyak jangka panjang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan bersama Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin dalam perbincangan dua hala yang menyentuh pelbagai aspek kepentingan kedua-dua negara.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Persekutuan Rusia untuk memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.
“Kerjasama dalam sektor tenaga merupakan antara bidang strategik yang penting bagi kedua-dua negara, khususnya dalam memastikan kestabilan dan kesinambungan bekalan,” katanya.
Selain sektor tenaga, Anwar berkata perbincangan turut meliputi peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden serta farmaseutikal.
Katanya, kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, selain meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu Ringgit dan Ruble.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga,” katanya.
Menurutnya, langkah berkenaan penting demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara dalam menghadapi cabaran ekonomi global.



