HomeUtama166 warga asing di hantar pulang ke negara asal

166 warga asing di hantar pulang ke negara asal

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Seramai 166 warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah.

Pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan yang dihantar melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.

JIM Sabah berkata kesemua tahanan PATI terbabit terdiri daripada 143 lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 6 tahun.

Kanak-kanak yang menyertai program itu turut diiringi oleh ibu bapa atau pengiring masing-masing.

Sebelum ini, pada 16 Jun lalu, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan tahanan PATI melalui udara yang melibatkan 11 warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu.

Mereka terdiri daripada sembilan lelaki dewasa dan dua wanita dewasa yang dihantar pulang terus ke Manila melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Pada tarikh sama, Depot Imigresen Tawau turut melaksanakan pemindahan sembilan tahanan PATI warga China yang terdiri daripada tujuh lelaki dewasa dan dua wanita dewasa ke Guangzhou melalui Lapangan Terbang Tawau.

“Sehingga kini, seramai 2,428 tahanan PATI warga Filipina dan 70 tahanan PATI warga China daripada keseluruhan 3,625 tahanan warga asing telah dipindahkan ke negara asal.

“Kesemua tahanan terbabit telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta memiliki Travel Documents (TD) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” menurut kenyataan itu.

JIM Sabah menegaskan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen yang sah.

Majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan kerana bersubahat atau melindungi PATI.

RELATED ARTICLES
Utama

JIM Sabah terus perhebat operasi, 89 warga asing ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular