KUALA LUMPUR: Perubahan susunan tempat duduk Ahli Parlimen menjadi antara perkembangan yang mencuri perhatian menjelang Sidang Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipindahkan ke Blok E berdasarkan pelan susunan terkini yang dikemas kini di Laman Web Rasmi Parlimen setakat 18 Jun 2026.
Walaupun berlaku perubahan kedudukan itu, status Ketua Pembangkang kekal tidak berubah apabila Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, terus menduduki kerusi di barisan hadapan blok pembangkang.
Hamzah dilihat duduk bersebelahan Ahli Parlimen Kemaman yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, manakala Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang, melengkapkan barisan kepimpinan utama pembangkang apabila ditempatkan bersebelahan Ahmad Samsuri.
Susunan terkini itu turut memperlihatkan blok pembangkang kini didominasi oleh kerjasama antara PAS dan Parti Wawasan Negara, sekali gus mencerminkan dinamika politik semasa menjelang persidangan Parlimen.
Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun hingga 16 Julai 2026, mengikut takwim rasmi Parlimen.
Sidang kali ini dijangka memberi tumpuan kepada pelbagai isu nasional, selain menjadi pentas perbahasan penting antara blok kerajaan dan pembangkang dengan susunan tempat duduk yang kini menampilkan beberapa perubahan.



