KOTA MARUDU: Kumpulan Sawit Kinabalu meneroka peluang baharu dalam sektor agromakanan menerusi pembangunan industri nanas MD2 yang dilihat mempunyai potensi tinggi sebagai komoditi bernilai tambah di Sabah.
Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Tun Dr. Musa berkata, lawatan itu memberi peluang kepada pihaknya melihat secara dekat amalan pengurusan ladang, penggunaan teknologi moden serta tahap produktiviti tanaman nanas MD2 yang semakin mendapat perhatian sebagai komoditi berpotensi tinggi.

“Lawatan ini membolehkan kami memperoleh pendedahan secara langsung mengenai pembangunan industri nanas, selain menilai potensi tanaman ini sebagai salah satu cabang diversifikasi perniagaan yang berdaya maju untuk diterokai pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena lawatan kerja ke Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Kampung Gana bagi meninjau perkembangan serta pengurusan ladang nanas MD2 yang diusahakan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), baru-baru ini.
Hazem berkata, perkongsian pengalaman serta amalan terbaik antara Kumpulan Sawit Kinabalu dan LIGS mampu membuka ruang kerjasama lebih luas dalam usaha memperkukuh pembangunan sektor agribisnes negeri.
Katanya, maklumat dan pengetahuan yang diperoleh menerusi lawatan itu akan menjadi rujukan penting dalam menilai peluang pembangunan industri nanas MD2 yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan sektor agromakanan Sabah.

Dalam lawatan itu, Hazem turut menerima taklimat daripada Pengurus Besar LIGS, Ts. Sabdil Tanjung mengenai proses penanaman nanas MD2 yang melibatkan kawasan seluas 500 ekar di Kampung Gana.
Sementara itu, Hazem berkata, Kumpulan Sawit Kinabalu turut merancang untuk meneroka penanaman nanas MD2 di kawasan Kampung Saga Saga Pimping, Membakut tidak lama lagi dengan keluasan kira-kira 100 ekar.
Hazem berkata langkah berkenaan selaras dengan usaha Kumpulan Sawit Kinabalu untuk meneroka peluang strategik baharu yang mampu meningkatkan nilai ekonomi syarikat selain menyokong agenda pembangunan pertanian dan agromakanan Sabah yang lebih progresif, inovatif serta mampan.
Beliau menegaskan, penerokaan sektor baharu seperti industri nanas MD2 adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh daya saing organisasi serta mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi negeri.



