HomeUtamaAmalan pemakanan sihat perlu dipupuk sejak awal, bendung obesiti kanak-kanak

Amalan pemakanan sihat perlu dipupuk sejak awal, bendung obesiti kanak-kanak

Read Time:1 Minute, 42 Second

PENAMPANG: Amalan pemakanan sihat perlu dipupuk sejak usia kanak-kanak bagi membendung peningkatan kadar obesiti dan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki.

Beliau berkata, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2024, seramai 13.6 peratus kanak-kanak dan remaja berumur antara lima hingga 19 tahun tergolong dalam kumpulan obes, manakala 23.1 peratus golongan dewasa turut mengalami obesiti.

Menurut Julita, statistik tersebut menunjukkan keperluan mendesak untuk membentuk tabiat pemakanan yang sihat sejak usia muda melalui peranan ibu bapa, guru dan masyarakat.

“Amalan pemakanan sihat perlu dipupuk sejak prasekolah agar ia menjadi budaya apabila dewasa kelak. Tabiat dan disiplin pemakanan yang baik perlu bermula dari rumah kerana keluarga merupakan institusi pertama yang membentuk gaya hidup dan tingkah laku anak-anak.

“Ketika negara terus berdepan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi, usaha pencegahan perlu diberi keutamaan melalui pendidikan pemakanan dan kesedaran kesihatan awam,” katanya ketika merasmikan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 di ITCC di sini pada Sabtu.

Julita berkata, langkah mudah tetapi berkesan boleh diamalkan bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat, termasuk memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, meningkatkan pengambilan susu dan produk tenusu yang bersesuaian serta mengurangkan pengambilan gula, garam dan lemak.

“Perubahan kecil dalam pilihan makanan harian mampu memberi kesan besar kepada kesihatan jangka panjang. Kita perlu membudayakan pemakanan seimbang dan sihat dalam keluarga supaya anak-anak dapat membesar dengan lebih sihat, kuat dan aktif,” katanya.

Beliau turut menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif serta menjadi contoh yang baik kepada generasi muda dalam mempromosikan amalan hidup sihat.

Julita menegaskan bahawa menjaga kesihatan bukan tanggungjawab kerajaan atau petugas kesihatan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen dan tindakan daripada setiap individu.

“Kesihatan adalah tanggungjawab bersama. Setiap daripada kita mempunyai peranan untuk membuat pilihan yang lebih sihat demi kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr William Gotulis dan wakil Timbalan Pengarah JKNS (Kesihatan Awam), Dr Abdul Marsudi Manah.

RELATED ARTICLES
Utama

Mural baharu perindah landskap bandar Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular