KUALA LUMPUR: Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor akan terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat negeri itu dapat diberi keutamaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas menghadap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut beliau, pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni itu memberi ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan serta membincangkan pelbagai perkara berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor.
“Pertemuan ini memberikan ruang yang baik untuk bertukar pandangan dan membincangkan perkara-perkara terkait kebajikan serta kesejahteraan rakyat, khususnya di negeri Johor Darul Ta’zim,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Anwar berkata, perbincangan turut menyentuh perkembangan semasa serta perancangan berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri Johor.
Beliau berkata, komitmen untuk mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan usaha pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Tunku Mahkota Ismail dan saya juga sepakat untuk terus mengekalkan hubungan yang baik, selain mengukuhkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Jelas beliau, kerjasama berterusan itu diharap dapat memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek ekonomi, pembangunan dan peningkatan kualiti hidup.SABAH MEDIA / FOTO HRH CROWN PRINCE OF JOHOR



