HomeUtamaSM All Saints raih tiga emas di BIICC 2026

SM All Saints raih tiga emas di BIICC 2026

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Sekolah Menengah (SM) All Saints mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih tiga Pingat Emas termasuk dua anugerah khas dalam Borneo International Innovation Creativity Competition (BIICC) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada 20 Jun lalu.

Kejayaan itu menyaksikan seramai lapan murid dan tiga guru pembimbing sekolah berkenaan menerima pengiktirafan antarabangsa selepas berjaya mengatasi persaingan daripada 172 pasukan yang mewakili pelbagai negara termasuk Bangladesh, Indonesia dan Mexico.

Kumpulan SORTEX terdiri dari kiri Chong, Aleya, Schainie dan Diananee bersama produk inovasi mereka iaitu tong sampah yang mengasingkan sampah mengikut kategori jenis.

Pasukan Echodetect yang dianggotai Bradley Wayne Welden, Eyrell Jaenry selaku ketua pasukan dan Caleb Jeremy Yen muncul sebagai pasukan paling cemerlang apabila memenangi Pingat Emas serta dua anugerah khas iaitu Best Environmental Award dan Best Poster Award.

Dibimbing oleh Ad’smor Sahirin, pasukan itu mempertandingkan produk Termite Detector yang berfungsi mengesan serangan awal anai-anai bagi membantu mengurangkan risiko kerosakan struktur bangunan.

Inovasi berkenaan berjaya menarik perhatian panel juri menerusi nilai praktikal dan potensinya dalam membantu pemantauan serta pencegahan kerosakan harta benda.

Sementara itu, pasukan Sortex yang diwakili Diananee Nathasya Isve Ismail Bian, Aleeya Husna Suhaili dan Schainie Nichole Stanly selaku ketua pasukan turut membawa pulang Pingat Emas.

Pasukan yang dibimbing Chong Woon Cheng itu memperkenalkan tong sampah pintar Sortex yang mampu mengasingkan sisa mengikut kategori tertentu bagi memudahkan pengurusan dan amalan kitar semula.

Turut menyumbang kepada kejayaan sekolah ialah pasukan The Luminaries yang dianggotai Clarissa Ruth Manji dan Olivia Lee Ya Chen di bawah bimbingan Disimon Edmund Gansoi.

Kumpulan Luminaries terdiri daripada Olivia, Clarissa dan Disimon bersama produk inovasi mereka iaitu dinamakan LOOKCAR v2 iaitu mencegah anak kecil atau bayi yang tertinggal dalam kereta secara tidak sengaja dengan menghantar alert kepada ibubapa/ penjaga.

Pasukan tersebut memenangi Pingat Emas menerusi produk The LOOKCAR v2, iaitu alat yang direka untuk mengesan bayi atau kanak-kanak yang tertinggal di dalam kenderaan secara tidak sengaja bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Pengetua SM All Saints, Dr Mary Gambidau, berkata pencapaian itu mencerminkan budaya kecemerlangan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta inovasi yang terus diterapkan dalam kalangan warga sekolah.

Beliau berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan sekolah, malah membuktikan kemampuan murid Sabah untuk bersaing di pentas antarabangsa menerusi idea kreatif dan penyelesaian inovatif.

“Pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian semua murid dan guru pembimbing, khususnya pasukan STEM Warriors yang telah mengharumkan nama sekolah, negeri dan negara.

“Saya juga ingin menyampaikan ucapan tahniah daripada Pejabat Pendidikan Daerah atas kejayaan cemerlang yang dicapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BIICC 2026 dianjurkan oleh Malaysia Youth Scientist Organisation (MYSO) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai platform untuk menggalakkan budaya inovasi, kreativiti dan penyelidikan dalam kalangan pelajar dari dalam dan luar negara.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS komited jamin proses yang adil, telus dan saksama kepada semua...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular