KOTA KINABALU: Ketiadaan saksi menyebabkan prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang sepatutnya bersambung hari ini terpaksa ditangguhkan.
Koroner Amir Shah Amir Hassan meluahkan rasa kecewa terhadap penangguhan itu sambil menegaskan Julai ini menandakan ulang tahun pertama kematian Zara.
“Sejujurnya, saya amat kecewa kerana hari ini tiada saksi walaupun persiapan telah dibuat.
“Julai akan menandakan ulang tahun pertama kematian Zara dan September pula genap setahun sejak inkues ini bermula pada 3 September tahun lalu.
“Kita telah bersidang selama 73 hari, saya memerlukan tarikh sehingga Oktober, dengan 23 Oktober sebagai hari terakhir,” katanya sambil berharap inkues itu dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan.
Terdahulu, prosiding inkues hari ini terpaksa dikosongkan susulan salah faham antara pihak-pihak berhubung giliran saksi.
Inkues akan bersambung esok hingga Jumaat ini, dengan pakar tulisan tangan, Dr Linthini Gannetion, dijangka memberi keterangan sebagai saksi ke-74.
Zara ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.
Kematiannya, yang didakwa melibatkan unsur buli, telah mencetuskan desakan di seluruh negara agar langkah pencegahan buli diperkukuh.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja yang dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa mencela Zara.
Mereka mengaku tidak bersalah dan kes itu kini masih berjalan di Mahkamah Kanak-Kanak.
Tiada saksi, koroner kecewa inkues Zara ditangguhkan
Read Time:1 Minute, 3 Second
RELATED ARTICLES



