Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi diesel bersasar yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan mengambil kira keunikan Sabah termasuk faktor geografi, sosioekonomi serta corak penggunaan kenderaan di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan Persekutuan telah membuat kajian serta mengambil kira faktor yang membezakan Sabah berbanding negeri-negeri lain.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat melalui pendekatan kerajaan yang meneliti pelbagai aspek termasuk jenis kenderaan yang banyak digunakan oleh rakyat Sabah.
“Melihat kepada statistik serta fakta-fakta yang dibentangkan, jelas mereka telah membuat kajian.
“Mereka telah mengambil kira keunikan dan faktor-faktor yang ada di Sabah yang mungkin tidak ada di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi taklimat media pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.
Taklimat itu disampaikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, antara contoh yang diberikan ialah perhatian terhadap penggunaan kenderaan pacuan empat roda yang menjadi antara keperluan penting bagi sebahagian rakyat Sabah terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, kerajaan juga dilihat bersikap terbuka serta sentiasa mengadakan rundingan bagi memastikan pelaksanaan skim berkenaan berjalan dengan baik.
“Mereka sangat bersikap berbincang dan saya pasti mereka akan terus bersikap begitu. Yang penting ialah keberkesanan pelaksanaan skim ini,” katanya.
Masidi berkata, kerajaan Sabah yakin pelaksanaan subsidi diesel bersasar mampu memberi manfaat sekiranya semua pihak memainkan peranan mengurangkan ketirisan.
Katanya, isu kehilangan diesel subsidi bukan sahaja merugikan kerajaan, malah memberi kesan kepada rakyat kerana bekalan yang sepatutnya dinikmati pengguna layak boleh berkurangan.
Beliau berkata, apabila ketirisan dapat dikawal, penjimatan yang diperoleh boleh disalurkan semula kepada rakyat melalui langkah penambahbaikan termasuk memastikan harga bahan api lebih terkawal.
Dalam masa sama, Masidi berkata kerajaan Sabah terbuka menerima maklum balas daripada rakyat dan pihak industri sekiranya terdapat perkara yang perlu diperbaiki dalam pelaksanaan skim tersebut.
“Tiada peraturan yang terlalu tetap dan kaku. Ia adalah garis panduan dan akan ada penyesuaian sekiranya keadaan khusus di Sabah memerlukan perubahan,” katanya. – SABAH MEDIA



